Bantah Adun lantikan Johor gimik politik PH, kata Umno

Bantah Adun lantikan Johor gimik politik PH, kata Umno

Umno Johor gesa PH kosongkan kerusi Adun lantikan di Pahang dan Sabah terlebih dahulu jika benar tolak konsep itu.

Abdul Halim Suleiman dan Noor Azleen Ambros kritik PH tolak Adun lantikan di Johor tetapi terima jawatan sama di Sabah serta Pahang.
PETALING JAYA:
Umno Johor menyifatkan kempen kutipan tandatangan Pakatan Harapan (PH) membantah pelantikan lima Adun lantikan di negeri itu sebagai gimik politik.

Setiausahanya Abdul Halim Suleiman berkata, PH tidak sepatutnya membantah kerana Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan pelantikan itu sudah diluluskan DUN Johor.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian, termasuk ketika negara berdepan cabaran ekonomi global.

“Ini semua polemik dan gimik politik PH seolah-olah kerajaan Johor melakukan kesalahan, sedangkan ia usaha yang jauh lebih baik berbanding apa dilakukan pihak yang tidak bersetuju.

“Rakyat jangan mudah terpengaruh dengan polemik yang dimainkan PH Johor,” katanya kepada FMT.

Abdul Halim berkata, jika PH benar-benar menolak konsep Adun lantikan, parti itu sepatutnya terlebih dahulu meminta wakilnya yang dilantik di Pahang dan Sabah meletak jawatan.

“Kenapa bila Johor buat, mereka bantah? Itu jelas cubaan hendak main politik,” katanya.

Hari ini, PH Johor melancarkan kempen kutipan tandatangan bagi membantah pelantikan lima Adun lantikan, yang menurutnya memberi ruang kepada rakyat menyatakan pendirian secara terbuka dan demokratik.

Dalam kenyataan bersama, Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor Zaliha Mustafa dan Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching berkata, Adun lantikan bukan penyelesaian terbaik untuk memperkukuh demokrasi.

Mereka sebaliknya mencadangkan persempadanan semula bagi menambah kawasan DUN di Johor.

Di Pahang, dua pemimpin PH dilantik sebagai Adun lantikan, iaitu Mohd Fadzli Mohd Ramly (Amanah) dan Rizal Jamin (PKR) manakala Grace Lee Mei (PKR) di Sabah.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros turut berkata, PH perlu membuktikan moral politiknya dengan meminta Adun lantikan daripada parti itu di Pahang dan Sabah berundur terlebih dahulu.

“Kalau masih ada sikap dwistandard dan pendirian berbeza mengikut negeri seperti yang cuba dibuat PH di Johor, bermakna PH Johor cakap tak serupa bikin,” katanya.

Noor Azleen berkata, pelantikan Adun tambahan itu bertujuan memantapkan fungsi legislatif DUN Johor dan memperkukuh amalan demokrasi di negeri berkenaan.

Mengulas cadangan PH supaya persempadanan semula dilakukan bagi menambah kerusi DUN Johor, beliau berkata, Umno tidak mempunyai masalah menyokong cadangan itu, namun ia memerlukan kajian menyeluruh dan analisis jangka panjang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.