
Bekas pemimpin Bersatu itu berkata isu berkenaan kembali selepas Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan laluan kemasukan ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) bagi lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan, termasuk Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan institusi tahfiz.
Wan Saiful mendakwa PN sukar menyerang isu berkenaan kerana Azmin, yang kini setiausaha agung Bersatu dan timbalan setiausaha agung PN, pernah mengiktiraf UEC ketika menjadi menteri besar Selangor.
“Media pernah memetik Azmin Ali dengan bangga berkata “Soal UEC ini bukan perkara baru bagi saya, ketika saya menjadi menteri besar pada 2014 hingga 2018, dalam tempoh yang singkat saya tidak teragak-agak, dalam 2015 saya telah pun mengiktiraf UEC untuk masa depan negara”,” tulis Wan Saiful di Facebook.
Beliau merujuk kepada laporan Malaysiakini pada November 2024.
Wan Saiful dipecat Bersatu pada Oktober tahun lalu dalam krisis kepimpinan yang menyaksikan timbul desakan supaya Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan presiden parti.
Semalam, kerajaan dilaporkan bersetuju dengan beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Kementerian Pengajian Tinggi memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri mempersetujui beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar daripada aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) ke IPTA.
Hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Jemaah Menteri telah membuat keputusan berkenaan membenarkan pelajar lepasan SMPC atau UEC memohon kemasukan ke IPTA.
Beliau mengulangi semua pelajar tanpa mengira aliran sekolah mesti memenuhi syarat asas iaitu lulus bahasa Melayu dan sejarah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Azlinda Azman pula menegaskan tiada pengiktirafan diberikan ke atas sukatan pelajaran UEC, sebaliknya hanya memberi laluan kepada pemegang sijil untuk mengikuti kursus tertentu di IPTA.
Jelasnya, kemasukan pemegang UEC ke IPTA tertakluk pada syarat dan penilaian yang ditetapkan universiti.