Dong Zong kecewa akses pelajar UEC ke IPTA masih bersifat ‘separuh hati’

Dong Zong kecewa akses pelajar UEC ke IPTA masih bersifat ‘separuh hati’

Pertubuhan itu dakwa pengumuman Kementerian Pendidikan Tinggi jauh daripada harapan masyarakat Cina dan gagal mencerminkan prinsip keadilan pendidikan sebenar.

dong zong
Dong Zong berharap kerajaan seharusnya bersikap lebih terbuka dan menghargai sumbangan pendidikan sekolah menengah persendirian Cina.
PETALING JAYA:
Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mendakwa keputusan kerajaan membenarkan pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memohon kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) masih bersifat ‘separuh hati’.

Pertubuhan itu dalam kenyataan melahirkan rasa kecewa kerana masih ada pelbagai syarat dan sekatan, sambil mendakwa dasar diumum Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) semalam masih menunjukkan kelemahan sistem sedia ada kerana pelajar UEC terus berdepan akses terhad ke universiti awam.

“Dong Zong kecewa terhadap pengumuman itu kerana ia jauh daripada harapan masyarakat Cina, gagal mencerminkan prinsip keadilan pendidikan dan mendedahkan kelemahan yang wujud dalam sistem sedia ada.

“Kami berpandangan kerajaan seharusnya bersikap lebih terbuka, menghargai sumbangan pendidikan sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) dan melaksanakan pembaharuan sistem substantif bagi memastikan akses pendidikan inklusif dan adil, agar penghijrahan bakat tempatan dapat dikurangkan,” katanya.

KPT semalam berkata, calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.

KPT memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

Bagi calon aliran terbabit yang turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh, mereka boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Untuk calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah diploma dan sarjana muda dakwah, diploma dan sarjana muda al-Quran dan as-sunnah, sarjana muda pendidikan tahfiz serta sarjana muda pengajian Islam (dakwah).

Bagi calon lepasan SMPC/UEC pula, antara program dikenal pasti ialah sarjana muda sastera pengajian bahasa Cina dengan kepujian, sarjana muda bahasa dan linguistik Cina, sarjana muda sastera pengajian Cina dan sarjana muda bahasa Cina dengan pendidikan.

Dong Zong turut mempersoalkan kerana ada dua mekanisme berbeza bagi pelajar UEC untuk memohon kemasukan ke IPTA.

Katanya, pemegang UEC yang mempunyai sijil penuh SPM dibenarkan memohon semua program pengajian melalui sistem UPUOnline.

Bagaimanapun, pelajar yang hanya mengambil dan lulus subjek bahasa Melayu serta sejarah dalam SPM pula dihadkan kepada empat program pengajian berkaitan bahasa Cina sahaja.

“Mengapakah wujud perbezaan yang begitu ketara dalam pemilihan program pengajian bagi pelajar SMPC yang sama-sama memiliki sijil UEC?

“Apakah rasional di sebalik penetapan dua standard yang berbeza ini? Pihak berkenaan perlu memberikan penjelasan dengan serta-merta,” tegasnya.

Menurut pertubuhan itu, walaupun kerajaan menggunakan naratif ‘inklusif, adil dan berkualiti’, realitinya pelajar UEC masih tertakluk kepada kerangka penilaian sistem pendidikan kebangsaan kerana perlu bergantung keputusan penuh SPM dan kombinasi mata pelajaran tertentu bagi tujuan merit.

Dong Zong berkata pendekatan mengehadkan pemegang UEC yang hanya mempunyai kelulusan bahasa Melayu dan sejarah SPM kepada bidang tertentu turut menyekat kebebasan pelajar menentukan laluan pendidikan serta potensi masa depan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.