KPT tak iktiraf silibus UEC, hanya beri laluan ke IPTA bagi kursus tertentu

KPT tak iktiraf silibus UEC, hanya beri laluan ke IPTA bagi kursus tertentu

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Azlinda Azman kata tiada kekaburan mengenai syarat kemasukan ke universiti kerana semuanya telah ditetapkan secara jelas.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Azlinda Azman fmt 15526
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Azlinda Azman berkata setiap universiti mempunyai mekanisme tersendiri dalam menilai permohonan pelajar berkelulusan UEC.
PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan tiada pengiktirafan diberikan ke atas sukatan pelajaran Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sebaliknya hanya memberi laluan kepada pemegang sijil untuk mengikuti kursus tertentu di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Azlinda Azman, berkata kemasukan pemegang UEC ke IPTA tertakluk pada syarat dan penilaian yang ditetapkan universiti.

“Ini bukan soal pengiktirafan silibus UEC. Yang penting, kita memberi laluan,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata setiap universiti mempunyai mekanisme tersendiri dalam menilai permohonan pelajar berkelulusan UEC, termasuk berdasarkan syarat akademik dan keperluan program pengajian.

Katanya, pendekatan itu memastikan standard kemasukan ke IPTA terpelihara tanpa pengiktirafan rasmi ke atas sukatan pelajaran UEC.

Semalam, kerajaan dilaporkan bersetuju dengan beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

KPT memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri mempersetujui beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar daripada aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) ke IPTA.

Hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Jemah Menteri telah membuat keputusan berkenaan membenarkan pelajar lepasan SMPC atau UEC memohon kemasukan ke IPTA, mengulangi bahawa semua pelajar tanpa mengira aliran sekolah mesti memenuhi syarat asas iaitu lulus bahasa Melayu dan sejarah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam pada itu, Azlinda menyangkal dakwaan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bahawa keputusan kerajaan membenarkan pemegang UEC memohon kemasukan ke IPTA bersifat ‘separuh hati’.

Beliau berkata tiada kekaburan mengenai syarat kemasukan ke universiti kerana semuanya telah ditetapkan secara jelas. “Kita telah menelitinya, dan sudah tentu di KPT terutamanya di universiti, senat mempunyai kuasa tertinggi.”

“Senat universiti yang menentukan kualiti dan standard. Itu kita tak boleh kompromi. Tiada sesiapa boleh campur tangan. Jadi mereka ada kriteria masing-masing,” katanya.

Ditanya mengapa perkara itu tidak dibawa ke Parlimen, beliau berkata keputusan tersebut telah dibincangkan dan dipersetujui di peringkat Jemaah Menteri.

“Jadi keputusan yang ditentukan dalam Jemaah Menteri adalah keputusan dasar yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya.

Azlinda berkata syarat asas melibatkan kepujian bahasa Melayu dan lulus mata pelajaran sejarah mengikut silibus SPM yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia kekal menjadi keutamaan dan tidak dikompromi.

Menurutnya, laluan khas itu melibatkan pelajar lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan seperti sekolah tahfiz, aliran agama dan SPMC yang mengambil mata pelajaran bahasa Melayu serta sejarah mengikut silibus SPM.

Bagi lepasan SMPC atau UEC, program yang dikenal pasti setakat ini melibatkan bidang bahasa dan linguistik Cina, termasuk sarjana muda pengajian bahasa Cina, linguistik Cina, dan bahasa Cina dengan pendidikan.

Bagi lepasan tahfiz dan aliran agama pula, program yang ditawarkan termasuk diploma dan sarjana muda dakwah, al-Quran dan al-sunnah, pendidikan tahfiz, serta pengajian Islam.

Beliau menjelaskan pelajar yang memiliki sijil SPM penuh bersama UEC boleh terus memohon ke semua program IPTA melalui sistem UPUOnline seperti biasa, berdasarkan merit keputusan SPM masing-masing.

Katanya, penilaian merit bagi kemasukan ke program kritikal seperti perubatan dan kejuruteraan tetap berpandukan keputusan SPM dan bukannya UEC.

Azlinda berkata permohonan bagi laluan khas itu akan dibuka secara terus kepada universiti bermula 30 Jun, memandangkan proses UPUOnline bagi sesi kemasukan semasa telah pun berjalan sejak akhir tahun lepas.

Setakat ini tiga universiti awam dikenal pasti terlibat dalam tawaran program berkenaan iaitu Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris, katanya.

Menurutnya, semua pemilihan pelajar tetap tertakluk kepada syarat am, syarat khas program, proses temuduga serta keputusan senat universiti masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata pelajar yang diterima melalui laluan berkenaan turut menikmati subsidi pendidikan kerajaan serta boleh memohon bantuan kewangan seperti pelajar IPTA lain.

Katanya, KPT turut berharap laluan itu dapat menggalakkan lebih ramai pelajar luar sistem pendidikan kebangsaan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah, selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.