
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Kuala Lumpur yang bersetuju memberi tanggungjawab kepada Ahli Parlimen Kemaman untuk mengetuai blok pembangkang di Parlimen.
Samsuri lebih dikenali Dr Sam, yang juga menteri besar Terengganu dijangka menyelaras strategi pembangkang serta mewakili blok itu dalam perbahasan Parlimen dan perbincangan dasar utama negara.
Takiyuddin berkata, mesyuarat itu turut membincangkan kerjasama politik lebih luas, termasuk menerima kerjasama pilihan raya dengan parti yang mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan dengan PN.
Beliau berkata, mesyuarat turut membincangkan beberapa isu semasa yang menjadi perhatian rakyat dan kepentingan negara.
Katanya, PN akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang yang bertanggungjawab, konstruktif dan berprinsip demi memastikan kepentingan rakyat serta masa depan negara sentiasa diutamakan.
Pada 12 April lalu, Samsuri berkata Hamzah bukan lagi ketua pembangkang dan beliau mengarahkan Takiyuddin menghantar surat rasmi memaklumkan kepada speaker Dewan Rakyat mengenai kekosongan jawatan itu.
Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul dilaporkan berkata masih belum dimaklumkan mengenai peletakan jawatan Hamzah, justeru secara teknikalnya Hamzah masih ketua pembangkang.
Hamzah dipecat daripada Bersatu pada Februari lalu ketika kemuncak krisis kepimpinan dengan Presiden Muhyiddin Yassin.
Susulan itu, Samsuri dilantik sebagai pengerusi PN menggantikan Muhyiddin yang melepaskan jawatan tersebut. Mereka turut bersetuju PAS akan mengambil alih peranan sebagai ketua pembangkang di Parlimen.