Anwar sedia panggil PRU awal

Anwar sedia panggil PRU awal

Perdana menteri yang juga pengerusi PH berkata rundingan dengan pimpinan gabungan akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersedia memanggil PRU lebih awal susulan krisis di Negeri Sembilan dan langkah BN Johor bertanding semua kerusi menjelang PRN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim berkata tidak teragak-agak mengadakan PRU lebih awal jika Pakatan Harapan (PH) terus diperkotak-katikkan.

Perdana menteri yang juga pengerusi PH, berkata rundingan dengan pimpinan gabungan akan dilakukan berkait perkara itu.

“Dalam tempoh terdekat, saya akan adakan rundingan dengan pimpinan PH bukan sahaja di negeri ini, tetapi kalau begini cara kita diperkotak-katikkan (hubungan), mungkin PRU seluruh negara diadakan.

“Keputusan tarikh itu perdana menteri yang buat, tetapi biarlah kita putuskan bersama, harus dengar nasihat kawan-kawan juga,” katanya menurut Harian Metro ketika berucap pada Konvensyen PH di Johor Bahru.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Onn Hafiz Ghazi mengumumkan Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN.

Susulan itu, Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan dalam konvensyen sama, turut mengumumkan kesediaan PH negeri berlawan di semua kerusi DUN.

DUN Johor akan terbubar secara automatik pada April 2027 jika pilihan raya tidak diadakan sebelum tempoh itu, dan selepas pembubaran, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

BN membentuk kerajaan negeri selepas menang 40 daripada 56 kerusi pada PRN Johor 2022.

PH pula menang 12 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) tiga, dan Muda satu.

Pada 27 April, 14 Adun Umno-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin Harun sebagai menteri besar dan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

Pengerusi Umno negeri, Jalaluddin Alias, berkata keputusan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin berkait dengan krisis semasa melibatkan empat undang yang mahu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, disingkirkan daripada jawatannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.