
Loke memuji Anwar kerana menyelesaikan isu yang telah lama berlarutan itu, menyatakan bahawa tiada pentadbiran terdahulu yang berani menanganinya.
“PAS dan Bersatu sebelum ini setuju (iktiraf UEC), tetapi apabila Anwar laksanakan sekarang, mereka salahkan DAP. Ini sikap hipokrit.
“Saya tabik kepada Anwar … beliau pemimpin berani,” katanya ketika berucap pada konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru hari ini.
“Masyarakat Cina perlu buka mata. Mereka kata harapan mereka tidak dipenuhi, dan Anwar tipu mereka.
“(Presiden MCA) Wee Ka Siong juga cakap begini. Sudahlah, MCA tak selesaikan isu ini ketika berada dalam kerajaan. Anwar yang selesaikan.”
Loke yang juga menteri pengangkutan menegaskan bahawa UEC bukan bertujuan menggantikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kelayakan tersebut, katanya, dianggap setara dengan A-Level di United Kingdom.
Beliau berkata, kira-kira 80% pelajar yang menduduki UEC turut mengambil peperiksaan SPM sepanjang lima tahun lalu.
Ini menangkis dakwaan sesetengah pihak bahawa pelajar UEC tidak fasih berbahasa Melayu, dan statistik tersebut memainkan peranan penting dalam keputusan Jemaah Menteri.
Loke juga berkata, isu ini harus dilihat secara khusus sebagai dasar pendidikan bertujuan memperluas akses kepada pengajian tinggi.
Beliau mengulangi kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan berkata rakyat Malaysia juga patut menguasai pelbagai bahasa, termasuk bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan Arab.
Jemaah Menteri memutuskan untuk membenarkan pelajar dari institusi tahfiz, sekolah swasta dan sekolah menengah persendirian Cina memasuki universiti awam jika mereka memiliki sijil penuh SPM.
Lulusan UEC tanpa sijil penuh SPM tetapi mengambil subjek BM dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia boleh memohon mengikuti program terhad dalam bidang linguistik Cina atau pengajian Cina.
Antara yang mengkritik keputusan itu termasuk bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, yang mendakwa dasar tersebut satu keputusan politik yang dibuat semata-mata untuk mengekalkan sokongan DAP.