Kejayaan PRN akan lonjak kedudukan Umno, kata bekas naib presiden MCA

Kejayaan PRN akan lonjak kedudukan Umno, kata bekas naib presiden MCA

Ti Lian Ker berkata, pencapaian cemerlang akan kukuhkan lagi hujah agar BN tanding solo pada PRU akan datang.

kotak undi mengundi kimanis
PRU16 dijangka berlangsung menjelang Februari 2028, namun spekulasi terus menular bahawa PM Anwar Ibrahim mungkin adakan pilihan raya awal.
PETALING JAYA:
Keputusan yang meyakinkan dalam beberapa PRN akan datang dapat melonjakkan kedudukan Umno dan membuktikan parti itu mampu menang tanpa terlalu bergantung kepada rakan gabungannya, kata bekas naib presiden MCA.

Ti Lian Ker berkata, pencapaian cemerlang Umno di negeri-negeri seperti Johor, Melaka, Perak dan Negeri Sembilan akan mewujudkan beberapa naratif, termasuk pandangan bahawa ‘Umno belum berkubur’ selepas kekalahannya pada PRU 2018.

Ti berkata, kemenangan besar di keempat-empat negeri itu juga akan melemahkan dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa pengundi Melayu telah membelakangkan Umno, di samping meningkatkan keyakinan dalam kalangan pemimpin, penyumbang dan penyokong parti tersebut.

Katanya lagi, prestasi yang meyakinkan pada PRN akan menguatkan lagi hujah bahawa Barisan Nasional (BN) wajar bertanding solo pada PRU akan datang.

“Di sinilah percaturan strategik jadi menarik,” katanya dalam hantaran di Facebook.

“Jika BN dapat buktikan mereka boleh kekalkan sokongan pengundi Melayu yang kukuh, sokongan peralihan bukan Melayu yang boleh diterima, serta jentera PRN yang berfungsi dengan baik, maka hujah untuk bertanding solo jadi jauh lebih kuat.

“Strategi bergerak solo akan menawarkan beberapa kelebihan, termasuk peluang untuk mengembalikan penjenamaan tradisi BN, mengurangkan kebergantungan terhadap kompromi gabungan, menyatukan sokongan Melayu, dan memulihkan identiti parti selepas bertahun-tahun berdepan ketidaktentuan ideologi.

“Ia juga akan membantu menepis persepsi bahawa kelangsungan Umno sebahagian besarnya bergantung pada pangkalan undi Pakatan Harapan (PH) di kawasan bandar atau kelebihan sebagai penyandang pada peringkat persekutuan.”

Ti berkata demikian mengulas pengumuman BN Johor semalam yang berhasrat bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.

Ketua BN Johor Onn Hafiz Ghazi, yang juga menteri besar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan aspirasi rakyat Johor, serta maklum balas daripada pemimpin akar umbi Umno dan BN di negeri itu.

PRN Melaka dan Johor masing-masing mesti diadakan menjelang Februari dan Jun 2027, manakala PRN di Perak dan Negeri Sembilan pula perlu diadakan masing-masing sebelum Februari 2028 dan November 2028.

PRU16 dijangka berlangsung menjelang Februari 2028, namun spekulasi terus menular bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin mengadakan pilihan raya awal, mungkin pada separuh kedua tahun ini, yang berpotensi diselaraskan dengan PRN Melaka dan Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.