Adun lantikan perlu luaskan perwakilan rakyat, bukan jadi ‘ganjaran politik’, kata penganalisis

Adun lantikan perlu luaskan perwakilan rakyat, bukan jadi ‘ganjaran politik’, kata penganalisis

Tawfik Yaakub cadang mekanisme lebih terbuka seperti jawatankuasa khas dwipartisan atau sesi pendengaran awam sebelum nama calon dibawa ke DUN.

dun johor
Johor menjadi negeri terkini memperkenalkan Adun Lantikan selepas sidang DUN pada 5 Mei meluluskan Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Adun lantikan lebih mudah diterima jika semua kuota diisi golongan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil kumpulan kurang diwakili bukannya tokoh politik, kata penganalisis.

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) berkata proses pelantikan juga perlu dilakukan secara lebih telus dan inklusif bagi mengelakkan persepsi ia sekadar ‘ganjaran politik’ kepada penyokong kerajaan.

Menurutnya, kerajaan negeri boleh mempertimbangkan mekanisme lebih terbuka seperti jawatankuasa khas dwipartisan atau sesi pendengaran awam sebelum nama calon dibawa ke DUN.

“Keutamaan boleh diberikan kepada golongan profesional, akademik, NGO, wakil OKU, belia dan tokoh masyarakat kerana mereka boleh membawa kepakaran serta mewakili kelompok yang kurang diwakili dalam politik pilihan raya.

“Jika pelantikan didominasi ahli politik, sukar mengelakkan persepsi Adun lantikan hanya bertujuan menambah sokongan kepada kerajaan,” katanya kepada FMT.

Menurutya, Adun lantikan berpotensi memperluaskan representasi rakyat dan mengurangkan ketegangan politik jika individu dipilih datang daripada pelbagai latar masyarakat sivil dan profesional.

Katanya, golongan itu juga berupaya membawa pendekatan lebih teknokratik dan kurang partisan dalam perbahasan dasar.

Isu itu menjadi perbahasan selepas DUN Johor pada 5 Mei lalu meluluskan Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan untuk pelantikan lima Adun lantikan, menjadikan jumlah wakil rakyat meningkat kepada 61 orang.

Johor ialah negeri keempat mempunyai Adun lantikan selepas Sabah, Terengganu dan Pahang.

Namun belum ada pelantikan Adun Lantikan di Terengganu walaupun ada cadangan untuk mengimbangi suara dalam DUN yang dikuasai sepenuhnya Perikatan Nasional (PN).

Pakatan Harapan (PH) Johor melancarkan petisyen bantahan dan turut mencadangkan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya supaya representasi rakyat dapat dilakukan lebih adil, seimbang dan selaras perkembangan semasa penduduk negeri itu.

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata Adun lantikan dan penambahan kerusi DUN sebenarnya mempunyai fungsi berbeza dan tidak wajar dilihat sebagai perkara sama.

Katanya, jika ingin meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat di kawasan mempunyai jumlah pengundi terlalu ramai atau terlalu luas, langkah lebih sesuai ialah menambah kerusi atau menjalankan persempadanan semula.

“Adun lantikan tidak mewakili kawasan tertentu seperti wakil rakyat dipilih melalui pilihan raya.

“Jika isu dibangkitkan berkaitan keperluan menambah khidmat kepada rakyat, mungkin sempadan semula atau pertambahan kerusi lebih sesuai dipertimbangkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.