
Ahmad Zaharudin Ahmad Sabri berkata walaupun majoriti pengundi bukan Melayu di Pulau Pinang masih cenderung menyokong PH, sokongan itu tidak wajar dianggap kekal secara automatik.
Menurut penganalisis Global Asia Consulting itu, sejarah politik negara menunjukkan kawasan dianggap selamat juga boleh berubah sekiranya pengundi merasakan wujud jurang antara janji politik dan realiti kehidupan harian.
“PH jangan terlalu yakin, Sabah sudah jadi amaran. Benteng yang kelihatan kukuh boleh retak dari dalam,” katanya kepada FMT sambil merujuk kegagalan DAP menang sebarang kerusi pada PRN Sabah tahun lalu.

Ahmad Zaharuddin berkata cabaran kepada PH mungkin timbul sekiranya kadar keluar mengundi penyokong tradisi gabungan itu rendah, manakala undi Melayu bergerak lebih tersusun kepada blok lawan.
“Isu kos sara hidup, sentimen agama dan kaum serta keyakinan terhadap institusi negara perlu diurus dengan lebih cermat kerana ia boleh mempengaruhi persepsi pengundi khususnya di kalangan Melayu,” katanya.
Straits Times (ST) Singapura pada 8 Mei lalu melaporkan PH Pulau Pinang mungkin kehilangan majoriti berdasarkan ramalan seorang tokoh kanan DAP yang tidak dinamakan.
Laporan itu mendakwa wujud kebimbangan dalam DAP mengenai sama ada ketidakpuasan hati terhadap kerajaan persekutuan boleh menjejaskan kedudukan PH di Pulau Pinang.
Namun Ketua Menteri Chow Kon Yeow menepis laporan itu.
Kerajaan perpaduan ketika ini memegang 29 daripada 40 kerusi di DUN Pulau Pinang, dengan PH memegang 27 dan Barisan Nasional (BN) dua. Majoriti 2/3 dicapai dengan 27 kerusi, manakala majoriti mudah adalah 21 kerusi.

Bagaimanapun, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata terlalu awal untuk menyimpulkan PH benar-benar tergugat hingga boleh kehilangan kerajaan negeri.
Katanya, DAP masih mempunyai asas sokongan kukuh di kerusi ditandinginya, manakala PH secara keseluruhan masih berada pada kedudukan lebih baik berbanding lawan.
“Yang lebih realistik ialah PH mungkin berdepan cabaran mempertahankan majoriti selesa, bukan semestinya kuasa.
“Jika PH turun daripada 27 kerusi kepada 23 atau 24 kerusi, kerajaan negeri masih boleh dibentuk, tetapi mandat politiknya kelihatan lebih kecil,” katanya.
Menurut Awang Azman, PH perlu lebih agresif mendekati pengundi Melayu, memperkukuh imej kepimpinan negeri yang inklusif, serta memperbaiki komunikasi dasar kepada rakyat bawahan.
“DAP juga tidak boleh hanya dilihat sebagai parti pembangunan bandar, tetapi perlu menunjukkan ia memahami keresahan sosial semua kaum,” katanya.