P Pinang catat lonjakan pelancongan perubatan menjelang TMM 2026

P Pinang catat lonjakan pelancongan perubatan menjelang TMM 2026

Peningkatan turut jana pendapatan mencecah RM1.136 bilion berbanding RM898.07 juta dicatatkan pada 2024.

penang skyline

Pulau Pinang merekodkan peningkatan ketara dalam sektor pelancongan perubatan apabila jumlah pesakit warga asing meningkat kepada 527,176 orang pada 2025. Lonjakan ini mencatat pertumbuhan sebanyak 25.94% berbanding tahun sebelumnya, sekali gus memperlihatkan potensi negeri itu dalam menarik pelawat antarabangsa.

Menurut Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai, peningkatan ini turut menjana pendapatan mencecah RM1.136 bilion, naik 26.60% berbanding RM898.07 juta dicatatkan pada 2024. Data Pusat Pelancongan Perubatan Pulau Pinang (PMED) melibatkan 16 hospital swasta menunjukkan jumlah pesakit warga asing pada 2024 ialah seramai 418,608 orang.

Dalam usaha memperkukuh sektor ini, kerajaan negeri merangka beberapa strategi sempena Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026. Salah satu inisiatif ialah kerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menarik lebih ramai pelancong perubatan. Program ini menawarkan diskaun sebanyak 15% bagi pakej pemeriksaan kesihatan kepada penumpang yang memegang pasport asing, bermula 1 Okt 2025 hingga 31 Dis ini.

Kerajaan negeri juga memperkenalkan kemudahan pembayaran menggunakan mata wang negara asal pesakit, seperti Rupiah Indonesia melalui kod Quick Response Indonesian Standard (QRIS). Kaedah ini membolehkan kadar pertukaran asing lebih rendah berbanding penggunaan kad debit atau kredit, sekaligus memudahkan pelancong dan meningkatkan daya tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan perubatan.

Sebagai pensyarah pelancongan, saya melihat peningkatan ini bukan sahaja memberi manfaat ekonomi, tetapi juga menonjolkan kepentingan integrasi produk, promosi dan kemudahan perkhidmatan dalam menarik pelawat antarabangsa. Program diskaun dan kemudahan pembayaran mata wang asing menunjukkan pendekatan strategik yang selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026. Ia bukan sahaja menambah jumlah pengunjung, tetapi juga memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi perubatan yang mesra pelawat, efisien, dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Kejayaan Pulau Pinang ini juga menekankan kepentingan pendekatan bersepadu antara kerajaan negeri, industri penerbangan dan penyedia perkhidmatan kesihatan. Dengan strategi yang tepat, negeri ini mampu mengekalkan momentum pertumbuhan pelancongan perubatan, menarik pelawat berkualiti tinggi, dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara lebih mampan sepanjang TMM 2026 dan seterusnya.

 

Penulis ialah pensyarah Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.