Sg Kereh cemar bukan hanya sebab ternakan babi, kata exco P Pinang

Sg Kereh cemar bukan hanya sebab ternakan babi, kata exco P Pinang

H'ng Mooi Lye berkata ia turut disebabkan aktiviti tani, pelepasan sisa, selain sistem parit yang berada di bawah bidang kuasa pelbagai agensi.

H'ng Mooi Lye
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa H’ng Mooi Lye, berkata antara langkah sedang dirancang adalah pemindahan sisa babi bagi hasil gas metana untuk dimanfaat sebagai sumber boleh baharu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Isu pencemaran di Kampung Selamat dan Sungai Kereh di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, bukan disebabkan aktiviti penternakan babi semata-mata, sebaliknya didorong pelbagai punca lain.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa H’ng Mooi Lye, berkata pencemaran berkenaan melibatkan faktor lain seperti aktiviti pertanian, pelepasan sisa, sistem perparitan, dan aspek persekitaran lain di bawah bidang kuasa pelbagai agensi.

Justeru, beliau berkata tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara bersepadu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang (JPS), dan agensi teknikal bagi mengenal pasti punca sebenar pencemaran dan langkah pembetulan diambil.

“Antara langkah yang sedang dirancang ialah pemindahan sisa najis babi ke Stesen Pemindahan Ampang Jajar (SPAJ) untuk diproses sebagai bahan mentah dalam sistem ‘anaerobic digestion’.

“Melalui proses ini, sisa organik akan diuraikan dalam persekitaran tanpa oksigen bagi menghasilkan gas metana yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui,” katanya pada persidangan DUN, di George Town menjawab soalan Mohd Sobri Saleh (PN-Permatang Berangan) mengenai jumlah aduan pencemaran Sungai Kereh dan tindakan diambil.

H’ng berkata, inisiatif itu bukan sahaja berupaya mengurangkan pencemaran sungai dan risiko pencemaran alam sekitar, malah turut menyokong agenda kelestarian, melalui pengurusan sisa yang lebih sistematik, sekali gus penjanaan tenaga hijau yang mesra alam.

Berdasarkan rekod JAS negeri, katanya tujuh aduan berkaitan isu pencemaran air dan bau busuk di Sungai Kereh diterima sejak 2024 sehingga 2026 dengan siasatan lapangan dijalankan, termasuk pemeriksaan lokasi yang mendapati terdapat kawasan parit diliputi rumput air, yang berpotensi menyebabkan aliran perlahan serta menyumbang kepada masalah bau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.