Sultan Selangor titah isu babi dimuktamad

Sultan Selangor titah isu babi dimuktamad

Setiausaha Sulitnya Mohamad Munir Bani berkata ia bagi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.

Setiausaha Sulitnya, Mohamad Munir Bani, berkata pendirian itu kekal seperti ditegaskan menerusi kenyataan media pada 10 Feb lalu.

Sehubungan itu, Munir berkata Sultan Selangor menegaskan isu berkenaan dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya demi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat.

Menurut Munir, pendirian Sultan Sharafuddin dibuat selepas mengambil kira risiko pencemaran tanah, udara dan sumber air sungai akibat pelepasan najis serta sisa kumbahan babi.

“Baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada kira-kira sembilan juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Munir, Sultan Selangor juga mengambil maklum penternakan babi moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos amat tinggi, selain tidak praktikal dilaksanakan hanya untuk memenuhi bekalan daging babi di Selangor.

Sehubungan itu, Baginda mencadangkan daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam di Selangor.

“Bahkan negara seperti Singapura juga tidak menternak babi dan mengimport daging babi dari luar,” katanya.

Munir berkata, Sultan Sharafuddin berpandangan penternakan babi sama ada berskala besar atau kecil tidak sesuai dilaksanakan di Selangor memandangkan sumber tanah yang terhad dan nilai hartanah tinggi.

Katanya, tanah di negeri itu sewajarnya dimanfaatkan untuk pembangunan lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.