Sultan bukan ‘rubber stamp’, kata Dewan di-Raja Selangor

Sultan bukan ‘rubber stamp’, kata Dewan di-Raja Selangor

Dewan di-Raja berkata Sultan Selangor berperanan sebagai kuasa semak dan imbang bagi memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara.

sultan selangor
Dewan di-Raja Selangor berkata dakwaan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah pada perasmian sidang DUN 20 April lalu mencampuri pentadbiran negeri adalah persepsi salah yang perlu diperbetulkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor menegaskan Sultan Selangor tidak boleh dianggap sekadar ‘rubber stamp’ atau formaliti dalam pentadbiran negeri, sebaliknya berperanan sebagai kuasa semak dan imbang terhadap pihak eksekutif.

Dalam kenyataan, mereka berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah bertindak bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa terjaga dan terpelihara, selaras peranan baginda sebagai Raja Berperlembagaan.

“Berdasarkan prinsip Raja Berperlembagaan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor tidak mahu bertindak sebagai ‘rubber stamp’ atau sekadar formaliti dalam melaksanakan fungsi baginda sebagai Sultan.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan bertindak sebagai satu kuasa semak dan imbang terhadap pihak eksekutif untuk memastikan kepentingan rakyat sentiasa terjaga dan terpelihara,” kata kenyataan itu.

Kenyataan dikeluarkan bagi menyangkal pandangan sebahagian pemimpin politik dan pihak tertentu yang mendakwa titah Sultan Selangor sempena pembukaan sidang DUN pada 20 April lalu mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Dewan di-Raja berkata, dakwaan titah itu melanggar konsep Raja Berperlembagaan adalah persepsi salah yang perlu diperbetulkan.

Menurut mereka, titah Sultan adalah selari peranan seorang raja dalam sistem Raja Berperlembagaan, khususnya bagi memastikan tindakan kerajaan negeri bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Katanya, titah juga membawa maksud nasihat dalam konteks bahasa istana, dan nasihat itu dibuat dengan mengambil kira kepentingan serta kesejahteraan rakyat.

Dewan di-Raja berkata, dalam konteks Selangor, menteri besar dikehendaki berunding dengan sultan dalam segala hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Rundingan membawa maksud bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan mempunyai hak diberi sembah maklum oleh menteri besar mengenai urusan pentadbiran negeri bagi membolehkan baginda mengetahui apa yang berlaku, di samping memberi nasihat sebelum sesuatu keputusan mengenainya dimuktamadkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pandangan dan nasihat sultan adalah berdasarkan kepentingan rakyat tanpa dipengaruhi kepentingan politik.

Dewan di-Raja berkata, sebarang nasihat, teguran dan peringatan oleh Sultan Selangor adalah teguran penting daripada seorang raja bagi memastikan pentadbiran negeri dijalankan dengan penuh tanggungjawab.

Katanya, Sultan Selangor sering menitikberatkan tindakan berkesan, bukan sekadar janji kosong, dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Mereka berkata, Sultan Selangor juga kerap menerima aduan rakyat mengenai pelbagai masalah seperti banjir, kutipan sampah, jalan berlubang dan isu lain berkaitan kehidupan harian.

Menurut kenyataan itu, aduan berkenaan bukan surat layang kerana pengadu menyertakan nama, alamat dan nombor telefon masing-masing.

Katanya, perkara itu menunjukkan pengadu benar-benar terdesak mahukan sultan menegur kerajaan negeri berhubung kesulitan dan masalah mereka hadapi.

Dewan di-Raja berkata, Sultan Sharafuddin yang mempunyai pengalaman 25 tahun sebagai Sultan Selangor dan 33 tahun sebagai Raja Muda Selangor, amat memahami peranan baginda mengikut undang-undang serta sistem Raja Berperlembagaan.

Mereka berkata, pengalaman itu membolehkan baginda mendalami fungsi raja dalam memastikan pentadbiran negeri berjalan mengikut prinsip perlembagaan dan kepentingan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.