
Jawatankuasa Bertindak Protect Karpal Singh Drive yang beroperasi di bawah Persatuan Penduduk Bandar Sri Pinang, membuat gesaan itu melalui memorandum yang diserahkan di luar Dewan Undangan Negeri hari ini.
Wakilnya, Dr K Ganesh, berkata PAC perlu meneliti perjanjian itu, lanjutan berulang yang diberikan kepada PLB dan bagaimana kerja penambakan dimasukkan dalam skop asal projek terbabit.
Kumpulan itu berkata, tender asal PLB pada 2016 tidak termasuk kerja penambakan, tetapi penilaian impak alam sekitar (EIA) 2025 kemudian mendedahkan komponen penambakan seluas 70 ekar.
Katanya, kebimbangan utama bukan saja kos projek RM1 bilion, tetapi bagaimana projek itu berubah dari semasa ke semasa dan siapa yang meluluskan perubahan berkenaan.
Penyerahan memorandum hari ini dibuat menjelang mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 20 Mei ini, di mana permintaan PLB untuk satu lagi lanjutan dijangka dibincangkan.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jason H’ng dilaporkan berkata, belum ada keputusan sama ada projek itu akan diteruskan atau ditamatkan.
Menurutnya, PLB memohon lanjutan selepas Jabatan Alam Sekitar (JAS) menolak laporan EIA pada 2 Mac lalu dan mengarahkan syarikat itu menyelesaikan beberapa isu teknikal.
Protect Karpal Singh Drive dalam memorandumnya kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, turut meminta semua surat penolakan JAS didedahkan supaya agar Middle Bank diwartakan sebagai tempat perlindungan marin dan kerajaan negeri mengotakan janji Chow untuk tidak memberikan lanjutan tambahan, jika kelulusan EIA tidak diperoleh menjelang 26 Feb lalu.
Kumpulan itu turut mengemukakan memorandum berasingan kepada Fauzi Yusoff yang menggesa Adun pembangkang terus membangkitkan isu berkenaan di DUN dan PAC.
Exco Lim Siew Khim menerima memorandum itu bagi pihak kerajaan negeri, manakala Fauzi dan beberapa Adun Perikatan Nasional keluar untuk menemui penduduk.
Penduduk dan kumpulan alam sekitar berkata, menambak tanah bersebelahan tapak pelupusan sampah boleh menjejaskan kesihatan awam disebabkan pembinaan kemudahan untuk memproses sisa, selain merosakkan ekosistem marin Middle Bank berdekatan.
Pelan penambakan bernilai RM1 bilion itu membabitkan kerja menggali tapak pelupusan sampah dan menambak kawasan pantai bersebelahan di utara Jambatan Pulau Pinang untuk meletak sementara sampah digali, dengan projek pembangunan bercampur akan dijalankan atas tanah ditambak.
Tapak seluas 65 hektar itu merangkumi 36 hektar tapak pelupusan sampah dan 29 hektar tanah baharu bersebelahan tepi laut Karpal Singh Drive.
PDC menandatangani perjanjian dengan PLB pada 2020 untuk melaksanakan projek itu, yang dijangka mengambil masa empat hingga lima tahun, tetapi tiada kerja dimulakan sehingga kini.