
Pertikaman lidah itu berlaku ketika Chow menggulung perbahasan, sewaktu menjawab soalan berkaitan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Chow berkata PDC memutuskan untuk tidak meneruskan tawaran terdahulu bernilai RM818 juta daripada konsortium IJM-Aspen kerana pembida itu gagal mematuhi lima daripada sembilan syarat utama yang ditetapkan dalam permintaan cadangan (RFP).
Menurutnya, tawaran itu tidak boleh dinilai hanya berdasarkan angka RM818 juta semata-mata kerana konsortium berkenaan turut meletakkan syarat tambahan yang akan membebankan PDC dengan kos yang besar.
Antaranya, kata Chow, pembida yang berjaya sepatutnya membina sebuah jambatan bagi menghubungkan tapak projek itu dengan Batu Kawan Industrial Park, namun IJM-Aspen enggan berbuat
demikian.
Beliau berkata, kos jambatan itu sahaja dianggarkan melebihi RM200 juta. Selepas mengambil kira kos lain, nilai sebenar tawaran RM818 juta itu berkurangan kepada kira-kira RM500 juta.
Chow turut berkata, PDC tidak boleh menerima cadangan hak penolakan pertama bagi tanah berhampiran kerana ia akan mengehadkan kuasa kerajaan negeri dalam menentukan penggunaan tanah berkenaan pada masa depan.
Hak penolakan pertama bermaksud syarikat tersebut diberi pilihan pertama untuk membeli tanah berhampiran sebelum kerajaan negeri menawarkannya kepada pihak lain.
“Jika beberapa ratus ekar tanah di sebelah kawasan ini diberi di bawah hak penolakan pertama, kita bukan lagi kerajaan. Aspen pula yang jadi kerajaan,” katanya.
Lim yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang kemudian mencelah dan meminta Chow memperincikan syarikat mana yang memohon dalam RFP terbaru, pihak berjaya, serta mengapa RFP kedua tidak diteruskan.
Chow tidak menjawab soalan itu secara langsung, sebaliknya berkata PDC dan kerajaan negeri tidak bole menerima tawaran IJM-Aspen walaupun dengan syarat-syarat yang sudah dijelaskannya seperti dimahukan Lim.
Lim menafikan perkara itu dengan berkata beliau tidak meminta kerajaan Pulau Pinang mengikut kehendak mana-mana syarikat. Sebaliknya, beliau hanya mahu penjelasan jelas mengenai RFP kedua demi akauntabiliti.
Kedua-duanya kemudian saling mencelah dengan Chow berulang kali menegaskan setiap RFP mempunyai terma dan tawaran berbeza, manakala Lim berkata semua butiran perlu dijelaskan dengan baik kerana ia melibatkan aset besar milik kerajaan negeri.
Lim kemudian berkata The Edge menyifatkan isu itu sebagai “Turkey of the Year”, dan perkara itu telah menjejaskan imej kerajaan Pulau Pinang.
Chow membalas: “Kamu percaya The Edge, tetapi tidak percaya rakan seperjuangan sendiri. Duduk!”
Lim menjawab bahawa Chow tidak perlu beremosi, sambil berkata kerajaan negeri sepatutnya menjelaskan fakta kepada The Edge sekiranya laporan itu tidak tepat.
Speaker Law Choo Kiang kemudian campur tangan serta meminta kedua-duanya meneruskan perbahasan dan menjelaskan Chow sudah memberikan jawapan.