Walau tanding solo PRN Johor, BN terus dukung kerajaan perpaduan pusat

Walau tanding solo PRN Johor, BN terus dukung kerajaan perpaduan pusat

Timbalan Ketua Umno Johor Ahmad Maslan berkata keputusan bertanding di semua 56 DUN ambil kira Johor menjadi kubu kuat parti sejak sekian lama.

Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan, berkata keputusan BN-Umno bertanding solo disifatkan keunikan demokrasi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahmad Maslan berkata keputusan Barisan Nasional (BN)-Umno bertanding solo pada PRN Johor menggambarkan keunikan demokrasi, namun menegaskan dukungan kekal bersama kerajaan perpaduan di pusat.

Timbalan ketua Umno Johor itu turut menyifatkan keputusan bertanding di semua 56 kerusi turut mengambil kira Johor menjadi kubu kuat gabungan itu sejak sekian lama.

Katanya, ia adalah hakikat yang diakui dengan kemenangan 40 daripada 56 kerusi DUN pada PRN Mac 2022.

“Semasa saya membuat penaziran dan turun padang di banyak kawasan di Johor dalam tempoh empat bulan dan hadir pelbagai program Umno, itulah juga kehendak pimpinan akar umbi di bahagian-bahagian.

“Saya berpesan secara serius agar semua jentera lima peringkat Umno (bahagian/cawangan, Wanita, Pemuda, Puteri, dan Veteran) dan jentera BN agar teruslah mendampingi rakyat pelbagai kaum; Melayu, Cina, India, Orang Asli & kaum minoriti lain. Kita adalah Bangsa Johor,” kata Ahli Parlimen Pontian itu dalam catatan di Facebook.

Awal hari ini, Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN negeri bergerak solo pada PRN selepas mengambil kira suara dan harapan rakyat Johor serta kepimpinan akar umbi.

Katanya, pendirian bertanding di 56 DUN adalah tawaran jelas kepada rakyat bahawa gabungan itu sedia untuk terus membentuk kerajaan stabil, kuat, dan berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor.

Pada PRN Johor lalu, BN membentuk kerajaan negeri apabila menang 40 daripada 56 DUN.

Pakatan Harapan (PH) pula menang 12 kerusi dengan 10 diperoleh DAP, selain PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) menang tiga, manakala Muda satu.

Penggal DUN Johor akan berakhir pada April 2027.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.