
Onn Hafiz yang juga menteri besar berkata, perkara itu diputuskan selepas perbincangan dengan pucuk pimpinan, selain mengambil kira suara dan harapan rakyat Johor serta kepimpinan akar umbi.
“Selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti, saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa BN Johor akan bertanding di semua 56 DUN pada PRN akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Pada PRN Johor lalu, BN membentuk kerajaan negeri apabila menang 40 daripada 56 DUN.
Pakatan Harapan (PH) pula menang 12 kerusi dengan 10 diperoleh DAP, selain PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) menang tiga, manakala Muda satu.
Terdahulu, dilaporkan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata PRN Johor medan terbaik menguji kekuatan BN bertanding solo, mengambil kira negeri itu bukan dibentuk sebagai kerajaan perpaduan, sebaliknya BN mahu mempertahankan kerajaan sedia ada.
Bekas menteri kesihatan itu berkata, langkah berkenaan bertujuan menilai sejauh mana kekuatan parti sebelum menuju ke PRU.
Penggal DUN Johor akan berakhir pada April 2027.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, pendirian bertanding di 56 DUN adalah tawaran jelas kepada rakyat bahawa gabungan berkenaan sedia untuk terus membentuk kerajaan stabil, kuat, dan berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor.