
Satu sumber yang rapat dengan perkara itu mendakwa Muda, melalui Timbalan Presiden Zaidel Baharuddin, menawarkan diri untuk bekerjasama dengan Rafizi pada bulan lepas.
“Johor mungkin menjadi medan ujian untuk kerjasama ini,” kata sumber yang enggan dinamakan kepada FMT, merujuk kepada PRK akan datang yang mana Muda menyasarkan antara lima hingga 10 kerusi.
Penggal DUN Johor sekarang akan berakhir pada April 2027.
Zaidel sebelum ini dilaporkan berkata bahawa Muda terbuka untuk bekerjasama dengan Rafizi dalam kapasiti tertentu, walaupun kedua-dua pihak masih belum mewujudkan hubungan rasmi.
Ini termasuk kemungkinan Rafizi bertanding pada PRU akan datang atas tiket Muda atau menawarkan nasihat mengenai strategi.
Spekulasi bahawa Muda dan Rafizi akan bergabung tenaga kencang selepas Presiden Amira Aisya Abd Aziz memuat naik gambar beliau bersama bekas naib presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, di media sosial.
Pada Rabu, Rafizi berkata beliau dan Nik Nazmi, Ahli Parlimen Setiawangsa, mengambil masa untuk mempertimbangkan pelbagai pandangan dan faktor secara teliti dalam menentukan lembaran seterusnya dalam perjalanan politik mereka.
Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi serta menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar pada Mei 2025.
Ia menyusuli kekalahan Rafizi dalam pemilihan timbalan presiden PKR di tangan Nurul Izzah Anwar. Sekutunya, Nik Nazmi, juga gagal mempertahankan jawatan naib presiden.
Sumber berkata kerjasama Muda-Rafizi bukan mustahil, memandangkan mereka pernah bergabung tenaga sebelum ini, mengambil contoh perhimpunan berkaitan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebelum ini, Azam Baki.