
“Tunggu dan lihat,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada tindakan akan dikenakan terhadap mereka yang dijadual mengumumkan ‘hala tuju politik’ baharu Ahad ini.
Rafizi dan Nik Nazmi meletakkan jawatan sebagai menteri Kabinet pada Mei tahun lalu selepas masing-masing tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden dan naib presiden PKR.
Sejak itu, Rafizi lantang mengkritik kerajaan dan parti, selain memberi bayangan kemungkinan meninggalkan PKR serta mempertahankan kerusi Parlimen Pandan sebagai calon bebas.
Semalam, Rafizi berkata mereka sudah meneliti pelbagai pandangan dan faktor sebelum menentukan fasa seterusnya perjalanan politik masing-masing.
Nik Nazmi pula dalam kenyataan berasingan berkata rakyat Malaysia memerlukan politik yang progresif, sederhana dan benar-benar berpaksikan rakyat.
Rafizi menjadi Ahli Parlimen Pandan selama dua penggal, manakala Nik Nazmi kini berkhidmat untuk penggal kedua sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa.
Beliau sebelum ini pernah menjadi Adun Seri Setia dari 2008 hingga 2018.