‘Kita lawan’, kata Pemuda PKR Johor usai BN umum gerak solo

‘Kita lawan’, kata Pemuda PKR Johor usai BN umum gerak solo

Terdahulu Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi mengesahkan akan bergerak solo pada PRN dengan bertanding di semua 56 DUN.

Faezuddin Puad
Ketua Pemuda PKR Johor Faezuddin Puad berkata pihaknya ambil maklum pengumuman tersebut dan akan ‘lawan’ jika itu pilihan BN. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda PKR Johor berkata parti itu sedia berdepan Barisan Nasional (BN) susulan gabungan itu memutuskan bergerak solo pada PRN akan datang.

Ketua Pemuda PKR Johor, Faezuddin Puad, berkata pihaknya ambil maklum pengumuman tersebut dan akan ‘lawan’ jika itu pilihan BN.

“Kita ambil maklum dan kita akan lawan! Sewaktu berkawan, kita berkawan sungguh-sungguh.

“Tapi, bila kamu pilih untuk berpecah dan berlawan, kita juga akan berlawan sungguh-sungguh. Biar rakyat menilai,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi mengesahkan akan bergerak solo pada PRN dengan bertanding di semua 56 DUN.

Beliau yang juga menteri besar berkata, perkara itu diputuskan selepas perbincangan dengan pucuk pimpinan, selain mengambil kira suara dan harapan rakyat Johor serta kepimpinan akar umbi.

Pada PRN Johor lalu, BN membentuk kerajaan negeri apabila menang 40 daripada 56 DUN.

Pakatan Harapan (PH) pula menang 12 kerusi dengan 10 diperoleh DAP, selain PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) menang tiga, dan Muda satu.

Penggal DUN Johor akan berakhir pada April 2027.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.