Mesyuarat PKR Kuala Selangor kecoh kerana usul undi tak percaya

Mesyuarat PKR Kuala Selangor kecoh kerana usul undi tak percaya

Ketua Cabang M Sivabalan berkata mesyuarat itu sah dan usul terhadapnya akan dirujuk kepada kepimpinan parti.

pkr kuala selangor gaduh
Kekecohan tercetus kira-kira 20 minit selepas mesyuarat agung tahunan PKR Kuala Selangor apabila sekumpulan individu kembali ke dewan.
PETALING JAYA:
Kekecohan tercetus selepas mesyuarat agung tahunan PKR Kuala Selangor hari ini susulan pertikaian mengenai usul undi tidak percaya terhadap Ketua Cabang M Sivabalan.

Sivabalan berkata, insiden kira-kira 20 minit itu berlaku selepas mesyuarat apabila sekumpulan individu kembali ke dewan dan menuntut penjelasan mengapa usul undi tidak percaya terhadapnya tidak dibenarkan untuk dibahaskan atau diundi.

Katanya, usul itu diterimanya, namun beliau memaklumkan kepada pihak yang membawanya bahawa ia akan dirujuk kepada kepimpinan pusat untuk pertimbangan.

“Mereka mahu membahaskan dan bincangkan (usul itu). Saya kata tiada apa nak dibahaskan kerana kami sudah terima usul tersebut.

“Kami tidak boleh mengundinya. Ini hanyalah usul, jadi ia perlu dibawa kepada kepimpinan tertinggi untuk diputuskan,” katanya kepada FMT.

Sivabalan berkata, usul itu melibatkan dua perkara – undi tidak percaya terhadapnya dan pelantikan ketua kampung.

Beliau berkata, kedua-dua perkara itu tidak boleh diputuskan dalam mesyuarat tersebut kerana ia bukan bawah kuasa cabang.

“Usul undi tidak percaya perlu dibawa kepada kepimpinan tertinggi. Pelantikan ketua kampung juga bukan kuasa kami. Saya tidak menolak usul itu. Saya terima dan berkata ia akan dipanjangkan kepada kepimpinan pusat,” katanya.

Sivabalan berkata, tiga ahli wanita cedera dalam kekecohan itu.

Katanya, laporan polis sudah dibuat dan satu lagi akan dibuat di IPD Sungai Buloh.

Dia juga membuat laporan polis berasingan semalam, mendakwa menerima ugutan bunuh yang dikaitkan dengan ketegangan dalaman parti menjelang mesyuarat agung tahunan hari ini.

FMT sudah menghubungi polis untuk mendapatkan komen.

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, mengesahkan insiden itu dan berkata ia tidak menjejaskan perjalanan mesyuarat.

“Mesyuarat Cabang Kuala Selangor berjalan lancar dan sah mengikut perlembagaan parti,” katanya.

Sebelum ini, PKR Kuala Selangor turut menjadi perhatian susulan ketegangan dalaman selepas pemilihan cabang parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.