Pemimpin Pemuda PKR keluar parti kerana semakin jauh daripada asas perjuangan

Pemimpin Pemuda PKR keluar parti kerana semakin jauh daripada asas perjuangan

Bekas ketua PKR Batu Asheeq Ali Sethi Alivi berkata beliau melepaskan semua jawatan parti berkuat kuasa serta-merta.

Asheeq Ali Sethi Alivi
Asheeq Ali Sethi Alivi berkata beliau menyertai PKR sejurus selepas PH tumbang dalam Langkah Sheraton pada 2020 kerana percaya parti itu memerlukan tenaga dan idealisme anak muda. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemimpin Pemuda PKR, Asheeq Ali Sethi Alivi meninggalkan parti itu atas alasan ia menyimpang daripada idealisme reformasi yang pernah dipercayainya.

Beliau turut melepaskan jawatan ketua PKR Batu dan ketua Pemuda PKR Wilayah Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, beliau menyertai PKR sejurus selepas kerajaan Pakatan Harapan digulingkan melalui Langkah Sheraton pada 2020 kerana percaya parti itu memerlukan tenaga dan idealisme anak muda.

Selepas lebih separuh penggal mentadbir negara, beliau melihat PKR semakin jauh daripada asas perjuangan yang dipercayainya.

“Tetapi, saya semakin dihimpit antara idealisme perjuangan yang saya pegang dan pendekatan pragmatisme baharu yang semakin menebal dalam parti,” kata peguam dan bekas aktivis pelajar itu dalam kenyataan.

Menurutnya, beliau akan memberi notis dua minggu kepada menteri wilayah persekutuan berhubung peletakan jawatannya sebagai pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Batu.

Asheeq memenangi jawatan ketua PKR Batu dalam pemilihan tahun lalu, selepas mengalahkan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran, dengan 153 undi.

Sebelum bertanding jawatan ketua bahagian, beliau merupakan ketua Biro Undang-undang dan Aduan Awam Pemuda PKR.

Beliau dikenali sebagai pemimpin pelajar yang lantang bersuara mengenai isu pelajar antara 2013 dan 2015, selain mengetuai beberapa perhimpunan ketika pentadbiran Najib Razak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.