
Katanya, persoalan besar juga perlu dijawab mengenai bagaimana kerajaan perpaduan dapat terus berfungsi dengan stabil apabila parti komponen mula bergerak sebagai pesaing secara terbuka di peringkat negeri dan nasional.
Beliau turut merujuk krisis di Negeri Sembilan selepas 14 Adun Umno Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun daripada PH.
“Rakyat juga pastinya ingin melihat bagaimana bentuk kempen yang akan berlangsung apabila perdana menteri daripada PH dan timbalan perdana menteri daripada BN berada dalam satu kerajaan persekutuan, tetapi berkempen sebagai lawan dalam PRN Johor.
“Keadaan di Sabah mungkin berbeza kerana budaya politik negeri tersebut sejak dahulu memperlihatkan hubungan berbeza antara kerajaan negeri dan persekutuan. Namun, budaya politik sedemikian bukan kebiasaan di Johor dan memerlukan penjelasan yang lebih tersusun kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Suhaizan yang juga naib ketua Amanah Johor, berpandangan pilihan raya secara serentak melibatkan PRN dan PRU wajar dipertimbangkan sekiranya senario pertandingan tiga penjuru benar-benar berlaku.
Katanya, rakyat mahukan kejelasan, kestabilan dan kejujuran politik.
Awal hari ini, Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN negeri bergerak solo pada PRN selepas mengambil kira suara dan harapan rakyat Johor serta kepimpinan akar umbi.
Pada PRN Johor lalu, BN membentuk kerajaan negeri apabila menang 40 daripada 56 DUN.
Pakatan Harapan (PH) pula menang 12 kerusi dengan 10 diperoleh DAP, selain PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) menang tiga, manakala Muda satu.
Penggal DUN Johor akan berakhir pada April 2027.