
James Chin dari University of Tasmania tidak melihat perkembangan itu sebagai tanda berlaku peralihan kepimpinan dalam GPS atau petanda Nanta mahu menamatkan kerjaya politiknya.
Menurutnya, lebih-lebih lagi beliau mempunyai kedudukan kanan serta latar belakang politik yang kukuh di Sarawak.
“Jangan lupa, beliau ialah cucu kepada mendiang Jugah Barieng, antara pengasas parti Pesaka sebelum ia menjadi sayap dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
“Jadi keluarganya akan sentiasa mempunyai peranan penting dalam PBB dan GPS,” kata Chin kepada FMT.
Chin percaya perkembangan ini lebih menggambarkan hasrat Nanta, yang kini menteri kerja raya di pusat untuk memainkan peranan lebih penting di peringkat negeri.
“Dalam erti kata lain, beliau mahukan jawatan dalam kerajaan negeri. Beliau sudah pun menjadi menteri persekutuan, jadi tiada sebab untuk beliau bertanding kerusi negeri jika beliau tidak mendapat jawatan dalam Kabinet negeri,” katanya.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya turut bersetuju dan berkata Nanta mungkin mengikuti laluan yang pernah diambil Timbalan Premier Sarawak Douglas Uggah Embas yang juga Timbalan presiden PBB
Uggah pernah menerajui Kementerian Sumber Asli dan Perladangan di peringkat persekutuan dari 2008 hingga 2016 sebelum menumpukan perhatian kepada politik negeri.
Beliau kemudian memegang pelbagai portfolio dalam Kabinet negeri dan berkhidmat sebagai timbalan premier atau timbalan ketua menteri sejak 2016.
“Saya melihat perkara ini lebih kepada hasrat Nanta untuk ‘kembali’ ke politik negeri dan dilantik ke jawatan menteri negeri,” kata Awang Azman.
“Hakikat bahawa beliau masih terbuka untuk memainkan peranan di peringkat negeri menunjukkan beliau mungkin sekadar memasuki fasa baharu dalam khidmat politiknya, iaitu daripada peringkat persekutuan ke peringkat Sarawak.”
Minggu lalu, Nanta memberi bayangan bahawa beliau mungkin tidak mempertahankan kerusi Parlimen Kapit pada pilihan raya umum akan datang selepas enam penggal, sebaliknya menyatakan minat untuk bertanding kerusi negeri pada pilihan raya Sarawak akan datang.
Nanta berkata sudah tiba masanya untuk menyerahkan tanggungjawab di peringkat persekutuan kepada pemimpin muda dalam parti. Beliau akan berusia 68 tahun pada Jun dan merupakan antara pemimpin bukan Islam yang lebih menonjol dalam PBB.
Peluang GPS tonjol generasi pemimpin seterusnya
Awang Azman berkata pengumuman Nanta memberi peluang baik kepada GPS untuk menampilkan muka baharu yang boleh menjadi sebahagian daripada generasi pemimpin seterusnya dalam gabungan itu, sekali gus memulakan proses peremajaan kepimpinan.
Katanya, langkah itu akan menunjukkan bahawa GPS tidak hanya bergantung kepada pemimpin senior, sebaliknya mampu melahirkan pemimpin muda yang berkebolehan untuk berkhidmat dan mentadbir.
“Satu cabaran ialah memastikan perkara ini tidak menyebabkan pengurangan peranan pemimpin Dayak. Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai satu bentuk penyusunan semula supaya pemimpin Dayak baharu yang bersifat teknokrat, segar dan mempunyai sokongan akar umbi yang kuat dapat diketengahkan,” katanya.
Bagaimanapun, Chin berkata perkara itu mungkin hanya bersifat simbolik, sambil menyatakan bahawa PBB sudah bercakap mengenai peremajaan kepimpinan selama lebih sedekad, namun kelompok lama masih terus menentukan hala tuju parti.
Kedua-dua penganalisis berkata GPS berkemungkinan mudah mempertahankan Kapit, tetapi Awang Azman menegaskan bahawa kerusi itu amat penting kepada gabungan berkenaan kerana ia merupakan kerusi utama masyarakat Dayak.
“Kerusi itu melambangkan kawasan pedalaman Dayak dan suara komuniti Iban-Orang Ulu dalam politik Sarawak, dengan isu seperti pembangunan luar bandar, jaringan rumah panjang, akses jalan raya, empangan dan tanah adat Bumiputera sebagai perkara utama kepada masyarakat tersebut.”
Nanta pertama kali memenangi kerusi Parlimen Kapit pada 1999 dengan majoriti lebih 11,000 undi. Selepas menang tanpa bertanding pada 2004 dan 2008, beliau mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum 2013 dan 2018 dengan majoriti lebih kecil.
Beliau kemudian memenangi kerusi itu dengan majoriti terbesarnya setakat ini pada pilihan raya umum 2022, apabila memperoleh penggal keenam dengan majoriti 12,402 undi.
Nanta tidak pernah menjadi Adun.