5,000 sertai Himpunan Daulat Tuanku di Shah Alam

5,000 sertai Himpunan Daulat Tuanku di Shah Alam

Peserta berhimpun bagi menyatakan sokongan terhadap institusi diraja dan Sultan Selangor susulan kontroversi penternakan babi.

himpunan daulat tuanku
Peserta yang kebanyakannya berpakaian kuning berkumpul di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebelum berarak secara aman menuju ke bangunan SUK Selangor.
SHAH ALAM:
Kira-kira 5,000 peserta menyertai Himpunan Daulat Tuanku di pekarangan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, hari ini.

Peserta yang kebanyakannya berpakaian kuning mula berkumpul seawal 4 petang di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebelum berarak secara aman menuju ke bangunan SUK.

Himpunan anjuran Pemuda PAS negeri itu disertai Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri, Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin, Ketua Pemuda Umno Selangor Mohd Imran Tamrin dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar, sebelum ini berkata himpunan diadakan bagi menzahirkan kesetiaan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah serta mempertahankan institusi diraja, agama Islam dan kepentingan Melayu di negeri itu.

Ia susulan kontroversi membabitkan cadangan penternakan babi moden dibangkitkan Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki ketika sidang DUN Selangor.

Bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar, yang turut hadir menggesa Adun DAP itu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN kerana didakwa menyentuh titah Sultan Selangor.

Sebelum ini, Pemuda PAS Selangor menegaskan himpunan bukan bertujuan menafikan hak bersuara mana-mana wakil rakyat, sebaliknya mempertahankan adab serta menghormati institusi diraja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.