
Beliau berkata tindakan itu dilaksanakan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang ditubuhkan pada 2019 dan setakat ini, sebanyak 356 kes didakwa di mahkamah dengan kutipan denda melebihi RM7 juta.
“Selain itu, sitaan melibatkan jentera, kenderaan dan peralatan pula dianggarkan bernilai lebih RM16 juta,” katanya pada persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang.
Beliau menjawab pertanyaan Mohd Fadzli Mohd Ramly (Adun Lantikan) yang ingin tahu tindakan penguatkuasaan pencerobohan tanah kerajaan negeri yang telah diambil termasuk pemusnahan tanaman dan pendakwaan di mahkamah.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata tindakan penguatkuasaan itu berdasarkan kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara seperti menduduki atau membina bangunan di tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan.
Menjawab soalan tambahan, beliau berkata kerajaan negeri tidak membiarkan kawasan tanah yang telah dilakukan tindakan penguatkuasaan terbiar begitu sahaja, sebaliknya membenarkan anak syarikat berkaitan memajukan kawasan itu.
Beliau berkata jika tanah itu melibatkan kawasan Orang Asli, pihaknya akan meminta Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) untuk menguruskannya.
“Jika ada syarikat lain yang berdaya saing dan berminat kita akan pertimbangkan (untuk mengusahakan tanah). Inisiatif ini antara lain boleh menjana hasil dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.