BN Johor mungkin tak tanding semua kerusi DUN, kata penganalisis

BN Johor mungkin tak tanding semua kerusi DUN, kata penganalisis

Keputusan bertanding semua 56 kerusi DUN dilihat permulaan kepada rundingan kerusi dan persediaan untuk PRU16.

bn ph flag
Pada pilihan raya Mac 2022, Barisan Nasional menang 40 daripada 56 kerusi, manakala Pakatan Harapan menang 12 kerusi, Perikatan Nasional tiga dan Muda satu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga penganalisis politik berkata, Barisan Nasional (BN) Johor mungkin tidak bertanding semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang, walaupun mengumumkan akan berbuat demikian semalam.

Sebaliknya, penganalisis berpendapat pengumuman itu mungkin sekadar permulaan kepada rundingan kerusi antara sekutu dan rakan gabungan BN, selain sebagai persediaan menghadapi PRU yang dijangka diadakan sebelum 2028.

Francis Hutchinson
Francis Hutchinson.

Francis Hutchinson dari Institut ISEAS-Yusof Ishak percaya BN berhasrat menggunakan PRN Johor dan Melaka untuk membina momentum menjelang PRU16, selain menunjukkan Umno, sebagai teras utama gabungan itu, masih mempunyai pengaruh signifikan.

Hutchinson, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara dan James Chin dari Universiti Tasmania menjangkakan BN Johor akan mengumumkan hasrat bertanding semua 56 kerusi DUN memandangkan Johor merupakan kubu kuatnya.

Hutchinson berkata, PRN pada Mac 2022 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) hanya meraih kira-kira 450,000 undi, jauh lebih rendah daripada 800,000 undi yang diperolehi dalam PRN yang diadakan serentak dengan PRU13 (2013) dan PRU14 (2018).

Menurutnya, BN sebaliknya berjaya mendapat kira-kira 600,000 undi dalam tiga pilihan raya itu, hasil disiplin dan kekuatan logistiknya.

“Jadi, Umno bertanding solo di Johor bagi menunjukkan mereka masih mempunyai tenaga dan semangat,” katanya kepada FMT.

Azmi Hassan.

Azmi berkata, pengumuman BN itu juga bertujuan memberi amaran kepada PH menjelang konvensyen gabungan berkenaan di Johor hari ini, di mana isu kerjasama dengan BN pada PRU16 dan PRN Johor mungkin dibincangkan.

Katanya, Umno Johor mengambil pendekatan daripada taktik rundingan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dengan mengemukakan tuntutan paling kuat sebelum sebarang rundingan antara kedua‑dua pihak bermula.

“Umno Johor menghantar mesej kepada PH, iaitu mereka sedia menghadapi pilihan raya, sama ada dengan atau tanpa PH.”

james chin
James Chin.

Tetapi, Chin berkata, sekutu BN wajar menerima kenyataan itu dengan berhati-hati.

“Anda tidak patut mengambil serius apa yang dikatakannya,” katanya merujuk Ketua Umno Johor merangkap Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi.

“Sebelum pilihan raya, parti akan umum mereka mahu bertanding semua kerusi. Tetapi, ia tidak akan berlaku selagi PH dan BN mempunyai persefahaman. Mereka tidak boleh bertanding semua kerusi.”

Chin berpendapat, Presiden Umno, Zahid Hamidi tidak akan bersetuju dengan BN Johor bertanding semua 56 kerusi kerana langkah itu akan menghantar isyarat salah terhadap hubungan PH‑BN di peringkat persekutuan.

Jelasnya, satu‑satunya cara BN boleh bertanding semua 56 kerusi ialah jika gabungan itu memutuskan tidak akan bekerjasama dengan PH pada PRU16.

“Saya menjangka mereka tidak akan bertanding semua 56 kerusi. Mereka mungkin bertanding di majoriti kerusi, tetapi bukan semuanya.”

DUN Johor akan bubar secara automatik pada April tahun depan dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Pilihan raya pada Mac 2022 menyaksikan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi, PH memenangi 12 kerusi, Perikatan Nasional (tiga) dan Muda (satu).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.