Perbalahan, cukai tanah beri kesan pada PH P Pinang, kata penganalisis

Perbalahan, cukai tanah beri kesan pada PH P Pinang, kata penganalisis

Rafizi Ramli juga dilihat dilayan secara tak adil oleh PKR, manakala pengundi kecewa dengan perbalahan berterusan Lim Guan Eng and Chow Kon Yeow.

Rafizi Ramli daripada PKR dan Chow Kon Yeow dan Lim Guan Eng dari DAP antara pemimpin yang mencetuskan kontroversi dalam parti mereka.
GEORGE TOWN:
Perbalahan dalaman dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH) boleh melemahkan prestasi gabungan itu apabila pilihan raya diadakan di Pulau Pinang, kata penganalisis politik.
Ahmad Fauzi Abdul Hamid
Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata perbalahan dalam PKR serta tanggapan bahawa bekas timbalan presiden Rafizi Ramli ‘dilayan secara tidak adil’ oleh kepimpinan parti akan menjejaskan kedudukan gabungan itu dalam kalangan pengundi Pulau Pinang.

“PH dilihat ‘terlalu keras’ terhadap individu seperti Rafizi sehingga mereka yang dianggap bersuara menentang kepentingan PH ketika dalam kerajaan ditekan melalui siasatan,” katanya kepada FMT.

Rafizi, yang juga ahli Parlimen Pandan, sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkaitan perjanjian dengan syarikat reka bentuk cip berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings, ketika beliau menjadi menteri ekonomi.

Rafizi menyifatkan siasatan itu bermotifkan politik susulan kritikannya terhadap kerajaan serta SPRM dan bekas ketua pesuruhjayanya, Azam Baki.

Wong Chin Huat
Wong Chin Huat.

Penganalisis politik Wong Chin Huat dari Sunway University berkata perbalahan dalam DAP, khususnya antara Lim Guan Eng dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, juga tidak akan disenangi pengundi.

“Saya ragu serangan berterusan Lim terhadap penggantinya, seperti bagaimana Dr Mahathir Mohamad mengkritik perdana menteri lain, akan diterima baik pengundi,” katanya.

Beliau berkata Chow dan Ketua DAP Pulau Pinang, Steven Sim, mungkin meraih undi simpati jika mereka memainkan peranan dengan baik.

Walaupun pengundi bukan Islam dan liberal di Pulau Pinang dijangka tidak akan mengundi Barisan Nasional atau Perikatan Nasional, mereka mungkin mempertimbangkan untuk tidak keluar mengundi, katanya.

Fauzi dan Wong berkata bantahan orang ramai terhadap kenaikan kadar cukai tanah di Pulau Pinang boleh menjejaskan DAP dan PH, dengan Wong berkata ia berlaku ketika Malaysia sedang berdepan kesan ekonomi akibat konflik di Timur Tengah.

Fauzi berkata walaupun kerusi majoriti Cina di bahagian pulau selamat untuk PH pada PRU16, gabungan itu terdedah di kerusi Seberang Perai yang mempunyai majoriti Melayu yang besar, melainkan ketegangan dalaman dalam Bersatu memecahkan undi Melayu dengan ketara.

Wong pula berkata kerusi yang mempunyai jumlah pengundi Cina lebih rendah paling berpotensi bertukar tangan sama ada akibat perubahan sokongan atau pengundi tidak keluar mengundi.

“Ini mungkin melibatkan Bukit Tengah, Bagan Dalam, Perai, Jawi di Seberang Perai, serta Sungai Pinang dan Datok Keramat di bahagian pulau. Tetapi faktor utama mungkin masa pilihan raya diadakan,” katanya.

Fauzi mencadangkan PKR berdamai dengan kem Rafizi memandangkan Azam tidak lagi mengetuai SPRM dan tiada lagi keperluan untuk ‘bercakap berlapik’ dalam usaha memerangi rasuah.

Laporan terkini The Straits Times memetik sumber DAP sebagai berkata PH berkemungkinan kehilangan majoriti dua pertiga di Pulau Pinang.

Dalam senario paling buruk, gabungan itu dijangka hanya memenangi 23 daripada 40 kerusi DUN, manakala rekod tanpa kalah di beberapa daripada 19 kerusi yang dikuasainya sejak 2008 mungkin berakhir.

Bagaimanapun, Chow memperkecilkan laporan itu dengan berkata pilihan raya akhirnya adalah ‘permainan nombor’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.