
Johari berkata, beliau akan menunggu surat pemakluman rasmi pengosongan kerusi oleh dua bekas pemimpin PKR itu sebelum mengambil tindakan.
“Saya cuma boleh bertindak setelah menerima dokumentasi, tidak (semata-mata) dengan mengambil maklumat selain dari itu,” katanya kepada FMT.
Rafizi dalam sidang media selepas mengumumkan hala tuju politiknya siang tadi berkata, beliau menyerahkan kepada Johari untuk membuat keputusan mengikut perlembagaan sama ada PRK perlu diadakan atau sebaliknya.
Bagaimanapun, katanya, sepatutnya tidak ada PRK selepas tempoh tiga tahun Parlimen untuk penggal ini, namun ada peruntukan di dalam perlembagaan bahawa speaker boleh menulis untuk mengadakan PRK sekiranya kekosongan itu ada kesan kepada majoriti kerajaan.
Mengikut laporan media sebelum ini, Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan menetapkan PRK tidak perlu diadakan jika kekosongan berlaku dalam tempoh dua tahun terakhir sebelum Parlimen terbubar secara automatik.
Tempoh itu bermula pada 19 Dis tahun lepas, iaitu selepas tiga tahun Parlimen penggal ini bersidang buat kali pertama susulan PRU15 pada November 2022.
Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan pengosongan kerusi masing-masing di Parlimen Pandan dan Setiawangsa bermula esok.
Dua bekas menteri itu turut mengumumkan keluar PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) secara rasmi mulai Selasa.
Surat pengosongan kerusi Parlimen akan diserahkan kepada Johari esok dan kepada Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh, sehari kemudiannya.