
Setiausaha agung DAP itu berkata, prinsip tersebut perlu dihormati kerana kemenangan seseorang wakil rakyat diperoleh atas kapasiti parti diwakili.
“Kita (wakil rakyat) kena menghormati proses bahawa apabila kita telah menang atas kapasiti parti, kita kena kekal sehingga pilihan raya,” katanya menurut Bernama selepas Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.
Loke, yang juga menteri pengangkutan, berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli dan bekas naib presiden PKR, Nik Nazmi Ahmad, yang mengumumkan keluar parti hari ini serta mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing, berkuat kuasa esok.
Beliau berkata, tindakan itu mungkin mempunyai implikasi dari sudut perundangan dan perkara berkenaan perlu diputuskan speaker Dewan Rakyat.
Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan, dan Nik Nazmi, Ahli Parlimen Setiawangsa, dilaporkan akan menyerahkan surat berhubung kerusi mereka kepada Johari Abdul minggu depan.
Surat peletakan jawatan mereka daripada PKR pula akan diserahkan kepada Setiausaha Agung parti Fuziah Salleh pada Selasa.
Susulan pengumuman itu, Rafizi dan Nik Nazmi turut memaklumkan akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama) daripada pengasas merangkap Presiden Tan Gim Theam sebagai platform baharu perjuangan politik mereka.
Bersama ditubuhkan pada 2 Dis 2016 dan aktif di Pulau Pinang.