
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh, berkata parti itu telah menerima rakaman ucapan dua wakil rakyat itu, di mana mereka umum mengosongkan kerusi Parlimen dan keluar parti.
“PKR menerima hasrat tersebut dan mengikut Fasal 9(1)(c) dalam perlembagaan PKR maka tergugur keanggotaan mereka
dengan pengisytiharan keluar parti.
“Pengisytiharan itu adalah jelas bertepatan dengan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik,” katanya dalam kenyataan.
Fuziah berkata, perkara berkenaan akan dirujuk kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengenai status Ahli Parlimen tersebut berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, PKR juga akan menentukan status keanggotaan Ahli Parlimennya yang hadir dalam program Rafizi dan Nik Nazmi.
Antara Ahli Parlimen PKR yang hadir ialah Wong Chen (Subang), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).