
Katanya, keputusan meletak jawatan itu juga bagi membolehkan mandat diserahkan kembali kepada rakyat.
“Keputusan kami ini bagi membolehkan ia tidak dilihat sebagai lompat parti. Kerana kami hormati mandat yang kami menang di atas tiket PKR dan Pakatan Harapan (PH) dahulu maka kami kosongkan kerusi itu,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan hala tuju politiknya di PJ Performing Arts Centre.
Justeru, katanya, mereka tidak perlu membayar RM10 juta kepada PKR memandangkan beliau telah meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen sebelum menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang berkuat kuasa Selasa ini.
“Risiko berdepan saman PKR ataupun bon yang PKR ada RM10 juta itu adalah kalau kami keluar parti dan masuk parti lain sebagai Ahli Parlimen … Jadi yang kami buat pada hari ini adalah kami kosongkan kerusi dan kembalikan mandat itu kepada rakyat.
“Apabila kami keluar PKR pada Selasa (itu nanti), sebenarnya (sudah) tidak terikat dengan bon,” katanya.
Mengulas sama ada PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari susulan pengosongan kerusi itu, Rafizi berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul untuk diputuskan mengikut perlembagaan.
“Sepatutnya selepas tempoh tiga tahun, tidak perlu ada PRK tetapi ada peruntukan di dalam perlembagaan yang speaker boleh menulis untuk mengadakan PRK sekiranya kekosongan itu ada kesan kepada majoriti kerajaan.
“Berdasarkan keadaan sekarang, sepatutnya perkara itu tidak terpakai kerana majoriti kerajaan (kukuh) berjumlah 150 kerusi tanpa kami berdua,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi turut mengumumkan beliau dan Nik Nazmi akan bertanding semula di kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa pada pilihan raya akan datang menggunakan lambang parti baharu mereka.
Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan pengosongan kerusi masing-masing di Parlimen Pandan dan Setiawangsa bermula esok. Dua bekas menteri itu turut mengumumkan keluar PKR dan menyertai Bersama secara rasmi mulai Selasa.
Surat pengosongan kerusi Parlimen akan diserahkan kepada Johari esok dan kepada Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh pada Selasa.