Ravinthran, Azmi dijangka naik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan

Ravinthran, Azmi dijangka naik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan

Enam hakim Mahkamah Tinggi dijangka dilantik ke Mahkamah Rayuan dan enam lagi dilantik ke Mahkamah Tinggi.

Ravinthran Paramaguru and Azmi Ariffin
Ravinthran Paramaguru dan Azmi Ariffin adalah antara 14 hakim yang akan menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.
PETALING JAYA:
Dua hakim Mahkamah Rayuan dijangka dinaikkan ke Mahkamah Persekutuan, sekali gus melengkapkan kesemua 11 jawatan di mahkamah tertinggi yang diisi buat kali pertama, menurut sumber.

Ravinthran Paramaguru dan Azmi Ariffin adalah antara 14 hakim yang akan menerima surat pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.

Enam hakim Mahkamah Tinggi dijangka naik ke Mahkamah Rayuan. Mereka ialah Hakim Dean Wayne Daly, Aliza Sulaiman, Amarjeet Singh Serjit Singh, Radzi Harun, Latifah Tahar dan Ahmad Shahrir Salleh.

Enam lagi, iaitu pesuruhjaya kehakiman yang dilantik pada 2023, akan disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi: Suzana Said, Yusrin Faidz Yusoff, Arziah Apandi, Gan Techiong, Hazizah Kassim dan Suriyati Hasimah Hashim.

Ravinthran dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 5 Jan 2009 sebelum dinaikkan ke Mahkamah Tinggi pada 2013 dan seterusnya ke Mahkamah Rayuan pada 2019.

Azmi pula dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2014 dan dinaikkan ke Mahkamah Tinggi pada 2017. Beliau dinaikkan ke Mahkamah Rayuan pada Jun 2023.

Ravinthran dan Azmi dijangka mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada sebelah petang. Hakim Mahkamah Rayuan akan mengangkat sumpah di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais, manakala hakim Mahkamah Tinggi akan mengangkat sumpah di hadapan Hakim Besar Malaya Hashim Hamzah.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Calon-calon terlebih dahulu dicadangkan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang dianggotai sembilan ahli dan dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.