Simpan tenggiling secara haram, bekas polis dipenjara setahun

Simpan tenggiling secara haram, bekas polis dipenjara setahun

Mahkamah Rayuan kurangkan hukuman Sharwandy Sollahudin daripada 78 bulan kepada 12 bulan, selepas ambil kira dia akan kehilangan kerja dan pencen.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Mahkamah Rayuan perintahkan Sharwandy Sollahudin, 39, dipenjara setahun bagi tiga kesalahan pertama, dan 9 bulan lagi untuk kesalahan keempat, dengan kesemua hukuman berjalan serentak.
PUTRAJAYA:
Seorang bekas anggota polis mula menjalani hukuman penjara setahun hari ini selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitannya kerana memiliki 81 ekor tenggiling secara haram, iaitu spesies yang disenaraikan sebagai terancam kritikal di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Ketika membacakan keputusan sebulat suara panel tiga hakim, Hakim Azman Abdullah berkata, panel bersetuju dengan dapatan selari yang dibuat oleh hakim perbicaraan dan Mahkamah Tinggi pada peringkat rayuan.

“Sabitan itu adalah selamat kerana tiada kekhilafan yang boleh dirayu,” kata Azman, yang bersidang bersama Hakim Noorin Badaruddin dan Radzi Abdul Hamid.

Bagaimanapun, panel hakim membenarkan rayuan Sharwandy Sollahudin, 39, terhadap hukumannya, dengan mengurangkan tempoh pemenjaraan daripada 78 bulan kepada 12 bulan.

“Kami telah mempertimbangkan hujahan yang dikemukakan oleh peguamnya bahawa dia akan kehilangan pekerjaan dan pencen,” katanya.

Bagi tuduhan pertama, Sharwandy disabitkan kesalahan menyimpan 24 ekor tenggiling matang tanpa permit, manakala tuduhan kedua membabitkan pemilikan 13 ekor anak tenggiling.

Sementara itu, bagi tuduhan ketiga, dia didapati bersalah menyimpan 44 ekor tenggiling betina, manakala tuduhan keempat berkaitan dengan perbuatan menyimpan kesemua 81 mamalia itu dengan cara yang menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya.

Kesalahan-kesalahan tersebut dilakukan di kediamannya di Taman Teratai, Alor Setar, Kedah pada kira-kira 12.35 tengah hari, 18 Sept 2018.

Sharwandy ditahan susulan maklumat orang awam yang disalurkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), namun motifnya menyimpan haiwan-haiwan tersebut tidak pernah didedahkan.

Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan ke atasnya bagi tuduhan pertama, kedua, dan ketiga, dengan jumlah keseluruhan 78 bulan. Dia turut dijatuhi hukuman tambahan sembilan bulan bagi tuduhan keempat.

Bagaimanapun, hakim perbicaraan memerintahkan tertuduh agar menjalani hukuman selama 78 bulan sahaja dan dia perlu memulakan hukuman penjaranya serta-merta.

Mahkamah Tinggi kemudiannya membenarkan hukuman ditangguhkan selepas Sharwandy membayar ikat jamin RM30,000 sementara menunggu keputusan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya, yang kemudiannya ditolak.

Hari ini, Mahkamah Rayuan memerintahkan dia dipenjara 12 bulan bagi tiga kesalahan pertama, dan sembilan bulan lagi untuk kesalahan keempat, dengan kesemua hukuman berjalan serentak.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Farhana Adham sebelum ini memohon mahkamah mengekalkan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim perbicaraan.

Beliau berkata, tertuduh bernasib baik kerana didakwa di bawah undang-undang sebelum ia dipinda pada 2023 yang menaikkan tempoh pemenjaraan daripada 10 tahun kepada 15 tahun.

Peguam G Ravishankar dan Nizam Adzha Zaidi tampil mewakili Sharwandy.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.