
S Valan, 31, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Segambut antara 11 malam dan 2 pagi pada 2 Jan 2023, mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi tuduhan kedua, Valan didakwa melakukan perbuatan serupa terhadap mangsa sama pada 2 petang, 22 Nov 2023, mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman minimum penjara lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Md Subri Hashim tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin.
“Sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, pendakwaan memohon supaya jumlah tinggi ditetapkan … mengambil kira mangsa bawah umur sewaktu kejadian selain tertuduh adalah orang yang diamanahkan untuk menjaga mangsa,” katanya.
“Pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 bagi setiap tuduhan serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, dilarang mengganggu saksi pendakwaan termasuk pengadu, dan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.”
Bagaimanapun, peguam Nur Amalina Md Daud yang mewakili Valan memohon jaminan rendah atas alasan ibu tertuduh hanya seorang suri rumah dan syarat pasport anak guamnya diserahkan kepada mahkamah dikecualikan.
“Sebelum ini, anak guam saya telah dituduh di Mahkamah Sesyen Ampang dan pasportnya telah diserahkan di mahkamah tersebut bagi kesalahan berbeza,” katanya pada prosiding yang turut dihadiri peguam pemerhati bagi pengadu serta Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor, S Kirthen dan L Nishanti.
Hakim Suhaila Haron membenarkan Valan diikat jamin RM9,000 bagi setiap tuduhan dengan seorang penjamin, seterusnya menetapkan 8 Jun untuk sebutan kes.
Pada 9 April lepas, Valan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas empat tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun.
Mahkamah berkenaan membenarkan dia diikat jamin RM30,000 bagi kesemua tuduhan dan menetapkan 10 Jun untuk sebutan kes.