
Amir Hamzah berkata, kerajaan persekutuan komited memastikan semua peruntukan kepada negeri-negeri mematuhi Perlembagaan Persekutuan.
“Kita cuba tambah peruntukan setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas melawat SK Tan Sri Awang Had Salleh di Balik Pulau, hari ini.
Amir berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menyentuh perkara itu dan akan membincangkannya dengan kerajaan Pahang.
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah baru-baru ini menggesa campur tangan kerajaan persekutuan dalam urusan berkaitan hasil negeri Pahang, termasuk kelulusan eksport pasir sungai.
Tengku Hassanal melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan kerajaan persekutuan yang melarang eksport pasir sungai, menyatakan langkah itu menjejaskan hasil negeri.
Sebelum ini, katanya, Pahang meraih hasil berjumlah puluhan juta ringgit melalui eksport pasir, namun kerajaan persekutuan mengharamkan amalan itu walaupun tanah dan sumber pasir terletak di bawah bidang kuasa negeri.
Hari ini, Amir berkata, beliau tidak menjangkakan kebimbangan yang dibangkitkan oleh kerabat diraja Pahang itu akan menjadi isu besar.
“Saya percaya perkara ini boleh diselesaikan,” katanya.