Keputusan Johor wujud Adun lantikan tak berperlembagaan, kata Nga

Keputusan Johor wujud Adun lantikan tak berperlembagaan, kata Nga

Timbalan pengerusi DAP itu berkata jawatan itu tidak demokratik kerana guna kaedah 'pintu belakang' untuk jadi wakil rakyat.

dun johor
DUN Johor pada Khamis meluluskan rang undang-undang pindaan perlembagaan negeri yang membolehkan pelantikan lima Adun tanpa pilihan raya, sekali gus meningkatkan jumlah wakil rakyat negeri itu kepada 61 orang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keputusan kerajaan Johor untuk mengwujudkan jawatan Adun lantikan di negeri itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, kata Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming.

Nga berkata ia juga tidak mencerminkan budaya politik matang dan demokratik kerana menggunakan kaedah ‘pintu belakang’ untuk menjadi Adun, lapor Utusan Malaysia.

Susulan itu, katanya, Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan kempen mengutip tandatangan rakyat Johor bagi membantah perkara tersebut.

“Adun lantikan ini tidak dipilih rakyat, mereka tiada kawasan berkhidmat namun menerima gaji seperti Adun, mempunyai kuasa untuk mengundi, untuk berbahas dan membangkitkan isu dalam DUN Johor.

“Pindaan sedemikian sebenarnya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang jelas mengatakan wakil rakyat perlu dipilih oleh rakyat, tak boleh dilantik,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Nga juga berharap berharap kerajaan negeri Johor akan mempertimbangkan semula perkara tersebut dan tidak melaksanakannya.

Walaupun dibantah PH, DUN Johor pada Khamis meluluskan rang undang-undang pindaan perlembagaan yang membolehkan pelantikan lima Adun tanpa pilihan raya, sekali gus meningkatkan jumlah wakil rakyat negeri itu kepada 61 orang.

Langkah itu menjadikan Johor negeri keempat mempunyai Adun lantikan selepas Sabah, Terengganu dan Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.