Pendapatan tambahan tak cukup tampung subsidi minyak, kata Tengku Zafrul

Pendapatan tambahan tak cukup tampung subsidi minyak, kata Tengku Zafrul

Penasihat kanan politik kepada perdana menteri berkata komitmen subsidi bahan api kerajaan jauh lebih tinggi berbanding pendapatan tambahan Petronas.

tengku zafrul
Tengku Zafrul Aziz berkata, subsidi bahan api ketika ini dianggar sekitar RM48 bilion setahun, manakala peningkatan hasil minyak sekitar RM10 bilion hingga RM14 bilion.
PETALING JAYA:
Hasil tambahan diperolehi Petronas daripada kenaikan harga minyak global tidak cukup menampung peningkatan kos subsidi bahan api, kata Tengku Zafrul Aziz.

Penasihat kanan politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menjelaskan walaupun syarikat minyak nasional Petronas menjana pendapatan kukuh susulan kenaikan harga minyak di sebalik konflik di Timur Tengah, keuntungannya tidak boleh digunakan begitu sahaja membiayai subsidi kerajaan.

“Subsidi sekitar RM4 bilion sebulan. Setahun boleh jadi RM48 bilion,” katanya dalam video di Facebook.

“Tambahan hasil minyak sekitar RM10 hingga RM14 bilion. Memang tak cukup nak ‘cover’ semua.”

Bekas menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu, turut memberi amaran agar tidak terlalu bergantung kepada Petronas sebagai sumber dana yang tanpa had. Beliau berkata, pengeluaran berlebihan boleh menjejaskan kemampuan syarikat itu melabur semula dalam operasinya dan mengekalkan pengeluaran pada masa hadapan.

“Jadi, isunya bukan Petronas untung atau tidak. Isunya macam mana kita urus kekayaan negara supaya cukup untuk hari ini dan masih ada untuk esok,” katanya.

“Kalau semua keuntungan dihabiskan, pelaburan berhenti, pengeluaran jatuh, hasil masa depan susut. Ini bukan jimat. Ini makan masa depan.”

Beliau berkata, Petronas mencatatkan hasil kira-kira USD266 bilion dan keuntungan sebanyak USD45.4 bilion pada 2025, sambil menambah Kementerian Kewangan tahun lalu mengunjurkan Petronas bakal menyumbang dividen RM20 bilion kepada kerajaan pada 2026.

Beliau juga berkata, sejak penubuhannya pada 1974, Petronas menyumbang RM1.5 trilion dalam bentuk dividen, cukai jualan negeri, bayaran tunai, duti eksport, dan caruman kepada kumpulan wang amanah negara.

Terdahulu hari ini, bekas menteri Idris Jala, berkata harga minyak global lebih tinggi akan meningkatkan hasil Petronas dan berpotensi membolehkan pemberian dividen kerajaan lebih besar.

Namun, beliau memberi amaran sebarang keuntungan diperoleh dibatasi lonjakan subsidi bahan api, dengan menyatakan dasar Putrajaya mengekalkan harga pam yang rendah melalui subsidi menghakis manfaat bersih kenaikan harga minyak.

Dalam senario harga minyak USD120 setong, Idris berkata subsidi tahunan boleh meningkat kepada RM60 bilion hingga RM70 bilion. Sebagai perbandingan, beliau menganggarkan hasil minyak tambahan hanya sekitar USD18 bilion hingga USD22 bilion.

Pada harga USD150 setong, katanya, subsidi tahunan boleh melonjak kepada RM84 bilion hingga RM108 bilion, manakala hasil minyak tambahan hanya akan berada pada tahap RM28 bilion hingga RM35 bilion.

Iran bertindak menyekat hampir keseluruhan laluan Selat Hormuz sebagai tindak balas kepada serangan AS dan Israel, menjurus harga minyak global melambung tinggi.

Gencatan senjata AS-Iran pada Selasa meningkatkan jangkaan aliran semula bekalan yang menjadi laluan tetap 20% minyak dan gas dunia. Susulan persetujuan dua negara berkenaan, harga minyak mentah menjunam lebih 15% di bawah USD100 setong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.