20 AJK letak jawatan: Tak perlu EGM, Pemuda PKR Pandan tak terbubar

20 AJK letak jawatan: Tak perlu EGM, Pemuda PKR Pandan tak terbubar

Bekas timbalan ketua Pemuda PKR Pandan Haqimi Zamri dilaporkan berkata sayap itu perlu dianggap terbubar secara automatik kerana hilang lebih dua pertiga AJK.

Tengku Zafrul Aziz
Exco Biro Politik PKR Tengku Zafrul Aziz berkata terpulang kepada pemimpin sayap itu untuk melantik AJK baharu, dengan ketetapan lanjut akan diumumkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiada keperluan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) kerana Pemuda PKR Pandan tidak terbubar susulan peletakan jawatan 20 pemimpin sayap itu, kata Exco Biro Politik PKR, Tengku Zafrul Aziz.

Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan Biro Politik PKR.

“Pelantikan jawatankuasa baharu Pemuda PKR Pandan terpulang kepada pemimpin sayap itu dengan ketetapan lanjut akan diumumkan kelak,” katanya menurut Berita Harian selepas program Korban Perdana Pemuda PKR Pandan di Kuala Lumpur.

Isnin lalu, bekas timbalan ketua Pemuda PKR Pandan, Haqimi Zamri mengesahkan 20 surat peletakan jawatan kepimpinan sayap itu sudah dihantar kepada e-mel rasmi keahlian PKR.

Beliau turut mendakwa Ketua Pemuda PKR Pandan, Ifwat Amir Hamirudin tidak lagi sah memegang jawatannya dan sayap itu perlu dianggap terbubar secara automatik kerana hilang lebih dua pertiga ahli jawatankuasa (AJK) berdasarkan Fasal 15.11 Peraturan Tetap Pemuda PKR dan Fasal 37.12 Perlembagaan PKR yang dibaca bersama Fasal 32.4.

Ifwat berkata, Pemuda PKR Pandan masih kukuh dan AJK baharu akan dilantik selepas kepimpinan pusat membuat keputusan.

Jelasnya, terdapat beberapa AJK sayap itu berdepan kesukaran menghadiri mesyuarat atau aktiviti kerana mereka hanya berdaftar di Pandan, tetapi tidak tinggal di kawasan terbabit.

“Malah, dua AJK meletak jawatan sebelum Rafizi Ramli mengumumkan keluar parti kerana mereka melanjutkan pengajian di Singapura dan United Kingdom, selain ada lagi beberapa peletakan jawatan yang sedang diteliti bersama kepimpinan pusat PKR.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.