Hanya 3 bukan 21 AJK PKR Shah Alam keluar parti, kata Najwan

Hanya 3 bukan 21 AJK PKR Shah Alam keluar parti, kata Najwan

Ketuanya Najwan Halimi nafi dakwan berlaku tindakan keluar parti secara besar-besaran melibatkan pimpinan cabang itu.

Najwan Halimi
Ketua Cabang PKR Shah Alam Najwan Halimi berkata PKR Shah Alam kekal utuh walaupun terdapat dakwaan beberapa pemimpin dan ahlinya keluar parti secara besar-besaran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PKR Shah Alam mengesahkan hanya tiga ahli jawatankuasa (AJK) keluar parti berbanding dakwaan kononnya berlaku tindakan keluar parti secara besar-besaran melibatkan pimpinan cabang itu.

Ketuanya Najwan Halimi berkata, pihaknya menjalankan siasatan dan semakan terperinci terhadap senarai nama dalam kenyataan media yang didakwa keluar parti.

“Dan semakan mendapati hanya tiga orang AJK cabang sahaja yang mengesahkan telah keluar parti secara sukarela,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan media AJK Cabang Shah Alam kononnya seramai 21 AJK dan sebahagian besar pimpinan Wanitanya mengumumkan letakan jawatan dan keluar parti serta-merta.

Menurut kenyataan itu, keputusan itu dibuat kerana hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti dan Najwan sebagai ketua cabang.

Mengulas lanjut, Najwan mendakwa gerakan kelompok berkenaan sebenarnya didalangi oleh seorang Ahli Parlimen daripada parti itu sendiri yang kecewa susulan kekalahan dalam pemilihan parti bagi merebut jawatan peringkat pusat dan cabang pada tahun lalu.

Beliau juga menegaskan bahawa cabang Shah Alam kekal utuh dan tidak akan tunduk dengan rencana makar oleh pemimpin yang disifatkannya sebagai gunting dalam lipatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.