Bekas pemimpin PBM nafi ahli keluar parti kerana jawatan GLC, PBT

Bekas pemimpin PBM nafi ahli keluar parti kerana jawatan GLC, PBT

Krishna Govinth berkata jika itu sebabnya, mereka sudah meninggalkan PBM pada 2023.

Former Selangor PBM secretary Krishna Govinth fb pic 21526
Bekas setiausaha PBM Selangor Krishna Govinth berkata rasa tidak puas hatinya terhadap kepimpinan parti dizahirkan dengan jelas ketika melepaskan jawatan timbalan ketua penerangan kebangsaan pada Oktober 2025. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang bekas pemimpin Parti Bangsa Malaysia (PBM) menepis dakwaan beberapa ahli di Selangor keluar parti selepas gagal mendapat jawatan yang dijanjikan dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Krishna Govinth mendakwa Presiden PBM, Larry Sng atas inisiatifnya sendiri, berunding dengan Menteri Besar, Amirudin Shari untuk peranan tertentu sebelum PRN 2023.

Tetapi, katanya, selepas PRN, PBM Selangor dimaklumkan peluang berasaskan merit itu tidak akan menjadi kenyataan.

“Jika kesetiaan kami benar-benar bergantung kepada jawatan itu, kami sudah beredar pada 2023.

“Sebaliknya, kami kekal selama bertahun-tahun, membina hubungan dengan kerajaan Madani melalui usaha sendiri dan kerja akar umbi yang proaktif,” kata bekas setiausaha PBM Selangor itu dalam catatan Facebook.

Semalam, Sng mendakwa beberapa pemimpin meletak jawatan selepas gagal mendapat jawatan dalam PBT dan GLC.

Katanya, selepas seorang naib presiden kanan mengambil alih PBM Selangor, ahlinya tidak lagi mendapat sokongan daripada kerajaan negeri Pakatan Harapan, walaupun terus bekerjasama dengannya.

Beliau mengulas laporan peletakan jawatan beramai-ramai PBM Bahagian Petaling Jaya semalam “untuk melakukan lebih banyak, berkhidmat dengan lebih berkesan dan menjadi sebahagian daripada platform politik yang lebih mencerminkan aspirasi rakyat”.

Krishna, yang meletak jawatan Isnin lalu, berkata “kurang hala tuju parti yang mendalam dan berpanjangan” menyebabkan beliau dan ramai lagi meninggalkan PBM.

Beliau berkata, rasa tidak puas hatinya terhadap kepimpinan parti dizahirkan dengan jelas ketika melepaskan jawatan timbalan ketua penerangan kebangsaan pada Oktober 2025.

“Selepas peletakan jawatan itu, saya cuba menumpukan usaha saya sepenuhnya di Selangor, tetapi tanpa hala tuju nasional yang padu, hati dan motivasi untuk berkhidmata sudah tiada lagi.”

Krishna berkata, jika matlamat ahli yang keluar parti demi mendapatkan kuasa atau keuntungan kewangan seperti didakwa, mereka tidak akan memohon untuk menyertai Parti Bersama Malaysia, yang menurutnya tidak menawarkan “insentif material sama sekali”.

Katanya, beliau sangat menghargai persahabatan dan hubungan kerja yang terjalin dengan individu berada dalam kerajaan perpaduan, dan penghijrahan ke platform politik lain tidak memadamkan ikatan itu.

“Saya amat berharap dapat meneruskan hubungan membina ini. Saya mendoakan PBM yang terbaik buat PBM, semoga berjaya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.