Sedia tanding di Pandan jika PKR beri peluang, kata Tengku Zafrul

Sedia tanding di Pandan jika PKR beri peluang, kata Tengku Zafrul

Penasihat kanan politik perdana menteri berkata malah beliau sedia bertanding di mana-mana kerusi jika diberi peluang oleh parti.

Tengku Zafrul Aziz
Tengku Zafrul Aziz yang dilantik sebagai pegawai pemantau Parlimen Pandan dan Ampang baru-baru ini, berkata tumpuannya kini untuk berkhidmat di dua kawasan berkenaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Buat kerja di Parlimen Pandan dan sedia bertanding di kerusi berkenaan jika mendapat kepercayaan parti, kata Tengku Zafrul Aziz.

Beliau yang juga penasihat kanan politik perdana menteri, berkata malah beliau bersedia bertanding di mana-mana kerusi jika diberi peluang oleh PKR.

Katanya, tumpuannya kini untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu berbanding berkemungkinan menentang bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, di kawasan tersebut.

“Saya tak fikir langsung (mengenai kemungkinan bertanding melawan Rafizi di Parlimen Pandan). Ya, saya mungkin berdepan dengan gergasi (politik) jika betul beliau bertanding semula di Parlimen ini.

“Namun, yang lebih penting untuk kita ialah buat kerja dan memberi berkhidmat, di mana-mana pun sama ada di Pandan atau Ampang mahupun kawasan lain yang ditugaskan,” katanya menurut Berita Harian.

Pada 23 Mei, Naib Presiden PKR Amirudin Shari mengumumkan pelantikan Tengku Zafrul sebagai pegawai pemantau Parlimen Pandan dan Ampang, seiring langkah parti menjadikan Parlimen Pandan kawasan angkat kepada Anwar Ibrahim, yang juga presiden PKR.

Terdahulu, bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli mengumumkan keluar daripada PKR selain mengosongkan kerusi Pandan. Beliau akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama) selain dijangka mempertahankan kerusi itu pada PRU16.

Rafizi sebelum ini meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi pada Mei 2025 selepas tewas pemilihan parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.