Petronas perkukuh daya tahan tenaga Malaysia berdepan kejutan geopolitik

Petronas perkukuh daya tahan tenaga Malaysia berdepan kejutan geopolitik

Penganalisis minyak dan gas Jamil Ghani berkata usaha mempelbagaikan sumber tenaga hari ini perlu dilihat dari sudut daya tahan ekonomi, bukan sekadar cita-cita alam sekitar.

Gentari, syarikat bawah Petronas yang memacu peralihan tenaga, mencatat portfolio tenaga boleh baharu dan penyimpanan global berkapasiti 9.1GW setakat akhir tahun lalu. (Gambar Gentari)
PETALING JAYA:
Usaha Malaysia mempelbagaikan sumber tenaga perlu dilihat sebagai langkah memperkukuh daya tahan ekonomi negara, bukan semata-mata sebagai agenda alam sekitar, kata seorang penganalisis minyak dan gas.

Jamil Ghani berkata walaupun hidrokarbon sejak sekian lama menjadi tunjang ekonomi Malaysia, ketegangan geopolitik mutakhir ini serta turun naik harga mendadak telah mendedahkan kelemahan yang turut memberi kesan kepada negara pengeluar seperti Malaysia.

Jamil Ghani
Jamil Ghani.

“Pasaran minyak masih amat sensitif terhadap kejutan geopolitik.

“Dalam konteks ini, mengurangkan kebergantungan kepada pasaran bahan api fosil yang tidak menentu bukan lagi soal pilihan, tetapi sebahagian daripada usaha mengurus risiko secara sistemik,” katanya kepada FMT.

Jamil berkata daya tahan tenaga tidak boleh dibina hanya dengan bergantung kepada satu sumber sebaliknya campuran yang lebih pelbagai penting dalam mengukuhkan keselamatan tenaga negara untuk jangka panjang.

Ini termasuk memperluas kapasiti tenaga boleh baharu, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import, serta meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih baik untuk menyertai inisiatif serantau seperti Grid Tenaga Asean.

Menurut Jamil, Petronas memainkan peranan besar dalam membantu Malaysia mencapai sasaran itu dengan meluaskan peranannya melangkaui sektor minyak dan gas, termasuk memberi tumpuan semakin besar kepada sumber tenaga lebih bersih dan alternatif.

Beliau berkata usaha berkenaan mula membuahkan hasil.

Jamil berkata Gentari, entiti bebas ditubuhkan Petronas bagi menerajui agenda peralihan tenaganya, telah membangunkan portfolio tenaga boleh baharu dan penyimpanan tenaga global berkapasiti 9.1GW setakat akhir tahun lalu.

Katanya, Petronas juga sedang berkembang ke bidang tenaga baharu, termasuk rancangan menghasilkan kira-kira 175 kiloton hidrogen bersih setahun.

Selain itu, tahun lalu Petronas memperoleh permit penilaian pertama Malaysia bagi projek pemerangkapan dan penyimpanan karbon luar pesisir di lapangan Duyong.

“Ini bukan sekadar projek perintis berasingan, tetapi asas awal kepada strategi lebih luas untuk mempelbagaikan aliran hasil, sambil mengekalkan perniagaan teras minyak dan gasnya,” katanya.

Petronas, bersama Tenaga Nasional Bhd, turut diberi tanggungjawab menaik taraf infrastruktur grid tenaga boleh baharu Malaysia, komponen penting bagi membolehkan peralihan kepada tenaga lebih bersih.

Jamil berkata kapasiti grid kekal antara kekangan terbesar kerana infrastruktur sedia ada perlu diperkukuh supaya mampu menyerap dan mengagihkan tenaga boleh baharu dengan lebih stabil dan boleh dipercayai.

Beliau merujuk projek seperti Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau di Kenyir, Terengganu sebagai contoh usaha mengintegrasikan penjanaan, penyimpanan dan penggunaan hiliran tenaga.

“Peluasan dan pemodenan grid akan menjadi faktor penentu,” katanya sambil menambah peningkatan kapasiti penghantaran, fleksibiliti sistem dan penyelesaian penyimpanan diperlukan untuk menyokong pembangunan tenaga boleh baharu yang lebih meluas.

Menurutnya walaupun hala tuju dasar Malaysia secara umum berada di landasan betul, dengan kapasiti tenaga boleh baharu mencecah kira-kira 31% pada akhir 2025, pelaksanaan masih menjadi cabaran utama.

Katanya, kelewatan dalam kelulusan kawal selia, penyelarasan antara agensi serta halangan pengkomersialan terus memperlahankan kemajuan, walaupun minat pelaburan semakin meningkat.

Jamil turut menyatakan sumber seperti biogas daripada efluen kilang minyak sawit belum dimanfaatkan sepenuhnya susulan kekurangan infrastruktur dan ketidakjelasan kawal selia.

Beliau berkata tekanan luar juga semakin meningkat, khususnya dengan Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon Kesatuan Eropah atau CBAM, yang mula berkuat kuasa tahun ini dan akan menyebabkan keperluan pelaporan karbon lebih ketat terhadap pengeksport.

Jelasnya, perkembangan ini menekankan keperluan Malaysia memperkukuh kesiapsiagaan karbon di seluruh rantaian bekalannya.

“Ringkasnya, Malaysia sedang bergerak ke arah betul, tetapi kekangan utama terletak pada keupayaan pelaksanaan, sama ada dari segi memperkemas proses kelulusan mahupun memperkukuh kesiapsiagaan institusi dan industri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.