Kemudahan dana untuk PMKS kini RM10 bilion ekoran krisis Asia Barat

Kemudahan dana untuk PMKS kini RM10 bilion ekoran krisis Asia Barat

Perdana menteri umum tambahan kemudahan RM5 bilion di bawah skim Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi bantu PKMS.

Anwar Ibrahim berkata gabenor Bank Negara akan memperincikan penambahan kemudahan itu dalam masa terdekat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan penambahan kemudahan RM5 bilion di bawah skim Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan impak krisis Asia Barat.

Penambahan kemudahan itu menjadikan jumlah keseluruhan RM10 bilion.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, gabenor Bank Negara (BNM) akan memperincikan penambahan kemudahan itu dalam masa terdekat.

“(Kemudahan) ini untuk membantu memacu pertumbuhan dan sebagai pemangkin kepada syarikat memerlukan.

“Bantuan ini mesti melibatkan syarikat lebih kecil dan kelompok pertanian, pekebun kecil, nelayan serta penjaja yang mengendalikan warung dan restoran kecil,” katanya dalam sidang media selepas sesi meja bulat bersama 20 wakil institusi kewangan di sini.

Turut hadir Gabenor BNM, Abdul Rasheed Ghaffour dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.

Semalam, Anwar mengumumkan peruntukan jaminan RM5 bilion di bawah SJPP bagi meringankan tekanan PMKS susulan krisis tenaga global dan konflik Asia Barat.

Peruntukan itu bagi menyokong PMKS terjejas, termasuk pembinaan, pertanian dan agromakanan, logistik dan pengangkutan serta pelancongan melalui liputan pembiayaan sehingga 80% daripada 70% sebelum ini dan tempoh jaminan sehingga 10 tahun berbanding tujuh tahun.

Skim SJPP terus menjadi antara instrumen utama kerajaan dalam menyokong kelangsungan PMKS, dengan lebih 50,000 PMKS dibantu melalui jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion dari 2023 hingga 2025.

Terdahulu, kerajaan melaksanakan pelonggaran e-invois dengan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan bagi pelaksanaan e-invois Fasa 4 sehingga 31 Dis 2027 untuk perniagaan dengan jualan tahunan RM1 juta hingga RM5 juta, termasuk kebenaran mengeluarkan e-invois disatukan tanpa penalti dalam tempoh itu.

Kerajaan turut mempertimbangkan secara interim terhadap pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport akibat gangguan konflik sehingga 31 Dis ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.