
“Kami telah melakukan kerja yang hebat dan kami akan selesaikannya dan semua orang akan gembira,” kata Trump dalam wawancara telefon dengan seorang hos radio konservatif pada Isnin.
Kenyataan itu menyusul hanya beberapa jam selepas Yang Dipertua Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, berkata Tehran menolak rundingan dengan AS “di bawah bayangan ancaman”.
Ghalibaf mengkritik Trump susulan keputusannya mengenakan sekatan ke atas Selat Hormuz, yang menurut Tehran merupakan pelanggaran terhadap gencatan senjata sedia rapuh.
Beliau menerusi platform media sosial X berkata, Trump cuba menggunakan ancaman untuk menjadikan rundingan itu sebagai medan memaksa Iran tunduk kepada kehendak AS atau bagi mewajarkan tindakan perang yang diperbaharui.
Tegasnya, Iran bersiap sedia dengan pilihan ketenteraan baharu, jika gencatan senjata dua minggu yang diusahakan Pakistan berakhir minggu ini.
Berhubung bantahan Iran terhadap rundingan itu, Trump berkata: “Mereka akan berunding dan jika tidak, mereka akan berdepan masalah yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini.
“Saya harap mereka akan buat perjanjian adil dan membangunkan semula negara mereka, tetapi apabila mereka berbuat demikian, mereka tidak akan memiliki senjata nuklear.
“Mereka tidak akan mempunyai akses kepada dan tiada peluang untuk memiliki senjata nuklear,” kata Trump.
Ahad lalu, Trump mengumumkan wakil AS akan berlepas ke Islamabad untuk rundingan, namun Tehran setakat ini belum mengesahkan penyertaannya secara rasmi serta menuntut sekatan itu ditarik balik.
Kenyataan itu dibuat ketika AS terus mengekalkan sekatan ke atas kapal yang keluar masuk pelabuhan Iran sejak minggu lalu.
Tehran menyifatkan sekatan itu pelanggaran terhadap gencatan senjata sedang berkuat kuasa.
Trump turut memberi amaran pada Ahad, AS akan menyasarkan infrastruktur Iran, jika Tehran gagal menerima syarat Washington untuk menamatkan konflik itu, sekali gus menambah kebimbangan pasaran ketika gencatan senjata dijadualkan tamat pada petang Selasa (waktu Washington).