
Acara empat hari di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu menghimpunkan 1,456 syarikat pempamer dari 63 negara, mempamerkan teknologi serta aset peperangan elektronik merangkumi sektor darat, udara dan laut.
Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata DSA dan NATSEC bukan sekadar pameran, sebaliknya pemacu transformasi industri pertahanan negara.
“Dengan memfokuskan hasil pengeluaran tempatan, DSA bakal menarik lebih banyak syarikat luar untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan rantaian bekalan bagi industri pertahanan dunia,” katanya ketika menutup acara DSA dan NATSEC Asia 2026.
Beliau berkata, ia juga antara platform strategik untuk memperkukuh kerjasama melalui pemeteraian pelbagai memorandum dan inisiatif antara kerajaan, industri serta institusi berkaitan.
Secara keseluruhan, Mindef memeterai 24 instrumen strategik dengan nilai direkodkan RM3.542 bilion melibatkan 12 kontrak perolehan, empat surat niat (LoI) dan lapan surat tawaran program kolaborasi industri (ICP).

Khaled berkata, ICP itu memberi penekanan kepada pemindahan ilmu dan teknologi daripada pengeluar asal (OEM) kepada syarikat tempatan, khususnya memperkukuh keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aset pertahanan negara
Antara syarikat tempatan ditawar ICP bernilai RM1.4 bilion termasuk Boustead Heavy Industries Corporation Submarine Engineering Services Sdn Bhd (BSES), Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (Lunas), Labuan Shipyard Sdn Bhd dan Preston Shipyard Sdn Bhd.
Beberapa memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai dalam Majlis Pertukaran Memorandum Kerjasama/Persefahaman dan Pelancaran Produk Pertahanan di Pavilion Mindef antara pemain industri tempatan dan antarabangsa.
Antaranya termasuklah gergasi aeroangkasa Eropah, Airbus, yang memeterai perjanjian MoU serta LoI bersama beberapa syarikat tempatan seperti Boustead Holdings, Airod Sdn Bhd, Global Turbine Asia Sdn Bhd dan Ikramatic Systems.
Lunas pula memeterai tujuh MoU bernilai kira-kira RM300 juta melibatkan syarikat antarabangsa manakala tiga lagi bersama rakan strategik tempatan.

Sementara itu, Mindef melalui Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride) menandatangani empat dokumen kerjasama strategik, merangkumi aspek penyelidikan, inovasi dan pembangunan teknologi pertahanan negara.
Selain pameran pertahanan dan keselamatan, penganjuran Forum Putrajaya ke-8 bertemakan ‘Keselamatan Asean di Ambang Teknologi Baharu’ yang dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, turut mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab wacana strategik serantau.
Mengulas lanjut mengenai tema tersebut, Khaled menegaskan kepentingan kesiapsiagaan strategik serta kerjasama pelbagai hala dalam menangani cabaran keselamatan yang kini dilihat semakin kompleks.
“Industri pertahanan berada pada titik perubahan yang kritikal. Teknologi baharu sedang mentakrif semula sifat kuasa ketenteraan itu sendiri. Inilah perkara yang Asean perlu faham dan bertindak ke atasnya.
“Kita memerlukan lebih daripada sekadar pelaburan. Kita memerlukan pelarasan semula dan transformasi, dengan mengimbangi kemajuan teknologi bersama etika dan tanggungjawab,” katanya.
Penganjuran kali ini turut menyaksikan Forum Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengangkat peranan akademia dalam memacu Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) menerusi kerjasama strategik.