RM2 yang terlalu murah, nyawa yang terlalu mahal

RM2 yang terlalu murah, nyawa yang terlalu mahal

Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan agar cukai jalan motosikal 150cc ke bawah dinaikkan kepada RM20 setahun.

laluan motorsikal motorcycle lane

Lebih dua dekad lalu, saya pernah menunggang motosikal kapcai dari Johor Bahru menuju ke Bukit Kayu Hitam. Perjalanan itu panjang, memakan masa, dan dalam banyak keadaan, sunyi. Namun yang paling saya ingat bukan jarak atau keletihan, tetapi rasa terdedah — seolah-olah setiap kilometer yang dilalui tidak benar-benar dilindungi oleh sistem yang sepatutnya menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

Laluan motosikal yang saya gunakan ketika itu wujud tetapi tidak sempurna. Permukaan jalan tidak sekata, lubang muncul tanpa amaran, dan ada bahagian terasa seperti tidak pernah diselenggara. Paling menghantui ialah kegelapan. Ada laluan langsung tidak mempunyai pencahayaan, menjadikan perjalanan bukan sekadar cabaran fizikal, tetapi juga ujian mental. Pada satu malam, ketakutan itu menjadi nyata apabila saya menjadi mangsa rompakan. Tiada lampu, tiada pengguna lain, tiada ruang untuk meminta bantuan. Hanya jalan panjang dan rasa bahawa sistem tidak benar-benar menjaga kami.

Hari ini, apabila kita bercakap tentang pembangunan, kita sering menyebut lebuh raya moden, jaringan jalan raya yang luas, dan pelbagai projek mega yang menjadi simbol kemajuan. Namun dalam diam, laluan motosikal kekal sebagai satu komponen yang sering terpinggir. Ia wujud di beberapa lebuh raya utama tetapi tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya.

Laporan media terkini menunjukkan bagaimana laluan motosikal yang dibina atas nama keselamatan kini bertukar menjadi ruang berisiko — berpasir, berlubang, beralun, sempit dan dalam banyak keadaan, gelap tanpa pencahayaan yang mencukupi. Malah ada laluan yang terlalu terpencil sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap jenayah, sesuatu yang pernah saya alami sendiri lebih dua dekad lalu.

Apa yang lebih membimbangkan hakikat bahawa masalah ini bukan sesuatu yang baharu. Ia berlarutan dari satu generasi ke generasi seterusnya seolah-olah ‘normal’. Laluan itu ada tetapi tidak benar-benar ‘siap’, seperti janji yang separuh ditunaikan — cukup untuk wujud tetapi tidak cukup untuk melindungi.

Dalam masa sama, angka kemalangan menunjukkan realiti yang tidak boleh kita abaikan. Laporan terkini menunjukkan bahawa kemalangan maut melibatkan motosikal di lebuh raya dan jalan ekspres meningkat secara ketara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Sebanyak 2,732 kes direkodkan dalam tempoh tiga tahun, dengan peningkatan daripada 805 kes pada 2023 kepada lebih 1,000 kes pada 2025.

Lebih luas daripada itu, penunggang motosikal terus kekal sebagai penyumbang utama kematian jalan raya. Angka ini bukan sekadar statistik — ia cerminan kegagalan sistem untuk melindungi kumpulan pengguna yang paling ramai dan paling terdedah. Dalam kebanyakan kes, motosikal berkapasiti kecil — yang menjadi pilihan utama rakyat biasa — turut mencatatkan kadar kemalangan tinggi.

Kita tidak boleh lagi melihat angka ini sebagai sesuatu yang biasa. Setiap angka itu nyawa yang hilang, keluarga yang terjejas, dan masa depan yang terhenti. Jika angka terus meningkat, maka jelas bahawa pendekatan sedia ada tidak lagi mencukupi.

RM2 setahun: antara kebajikan dan realiti

Dalam perbincangan ini, ada satu perkara yang sering kita abaikan — struktur cukai jalan motosikal. Bagi motosikal 150cc ke bawah, yang merangkumi majoriti pengguna, kadar cukai hanyalah sekitar RM2 setahun. Ia terlalu kecil sehingga hampir tidak dirasai.

Dari sudut kebajikan rakyat, ini mungkin dilihat sebagai satu kelebihan. Namun dari sudut pembangunan sistem, ia menimbulkan persoalan yang lebih besar — bolehkah kita mengharapkan prasarana yang selamat dan berkualiti jika sumbangan terhadap penyelenggaraannya hampir sifar?

Dalam banyak perkara, kita memahami bahawa kualiti memerlukan pelaburan. Jalan raya tidak terkecuali. Apabila kita membayar terlalu sedikit, kita juga mungkin menerima sistem yang tidak cukup baik. Dalam konteks ini, kita mungkin sedang menikmati kos yang rendah tetapi membayar harga yang jauh lebih mahal dalam bentuk risiko — kemalangan, kecederaan, dan kehilangan nyawa.

Sudah tiba masanya kita melihat isu ini dengan lebih jujur dan berani. Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan agar cukai jalan motosikal 150cc ke bawah dinaikkan kepada RM20 setahun. Namun cadangan ini bukan sekadar menaikkan kadar tetapi tentang bagaimana wang itu digunakan.

RM18 daripada jumlah tersebut perlu diperuntukkan sepenuhnya untuk pembangunan dan penyelenggaraan laluan motosikal — sebagai dana khusus yang telus dan boleh diaudit. Dengan populasi motosikal yang mencecah jutaan unit, kutipan tambahan ini berpotensi menghasilkan dana yang besar dan berterusan. Ia boleh digunakan untuk membaiki jalan berlubang, membersihkan laluan daripada pasir dan halangan, menambah pencahayaan di kawasan gelap, serta memastikan laluan lebih bersambung dan tidak mengelirukan.

Cadangan ini mungkin kedengaran kecil tetapi impaknya boleh besar. RM20 setahun hanyalah sekitar RM1.67 sebulan — jumlah yang mungkin tidak dirasai oleh kebanyakan pengguna. Namun jika diurus dengan baik, ia boleh menjadi asas kepada sistem yang lebih selamat dan berfungsi.

Ini bukan soal membebankan rakyat. Ini soal mengurus risiko secara bersama.

Lebih daripada jalan, ini soal maruah

Benar, faktor kemalangan tidak hanya bergantung pada keadaan jalan. Tingkah laku penunggang turut memainkan peranan — kelajuan, jarak mengekori, dan pematuhan undang-undang. Namun kita tidak boleh terus meletakkan beban sepenuhnya ke atas pengguna tanpa memperbaiki sistem yang mereka gunakan.

Prasarana yang baik tidak menjamin keselamatan sepenuhnya tetapi ia memberi peluang kepada keselamatan untuk berlaku. Ia mengurangkan risiko, mengurangkan kesilapan, dan paling penting mesej bahawa penunggang motosikal dihargai sebagai pengguna jalan raya yang sah.

Pengalaman saya di laluan gelap lebih dua dekad lalu mungkin hanya satu cerita kecil. Laporan terkini membuktikan bahawa cerita itu masih berulang — dalam bentuk yang lebih besar dan lebih tragis. Jika selepas puluhan tahun, laluan itu masih gelap, masih rosak, dan masih berisiko, maka masalahnya bukan pada masa. Masalahnya pada keutamaan.

RM2 mungkin murah tetapi jika RM20 mampu mengubah sistem, mengurangkan risiko dan menyelamatkan nyawa, maka itu bukan lagi soal kos — itu soal nilai yang kita letakkan pada kehidupan di atas dua roda.

 

Penulis ialah karyawan dan editor perunding terbabit lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.