Murid 11 tahun maut, motosikal ditunggang hilang kawalan

Murid 11 tahun maut, motosikal ditunggang hilang kawalan

Polis berkata penunggang Honda RSX berusia 13 tahun hanya cedera ringan.

Ketua Polis Sik Shamzury Saman berkata Honda C100 ditunggang kanak-kanak 11 tahun itu hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang Honda RSX ditunggang remaja 13 tahun. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang murid Tahun Lima meninggal dunia ketika dirawat di hospital selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan di Jalan Kampung Betong, Sik.

Ketua Polis Sik, Shamzury Saman, berkata siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila Honda C100 ditunggang kanak-kanak lelaki 11 tahun itu hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang Honda RSX ditunggang remaja lelaki 13 tahun.

Dalam nahas kira-kira 6.30 petang semalam, beliau berkata, kedua-dua motosikal itu dipercayai dari arah Kampung Kuala Kerik menghala Kampung Betong.

Jelasnya, akibat pelanggaran itu, kanak-kanak terbabit yang cedera parah di kepala dikejarkan ke Hospital Sik.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 8.45 malam tadi ketika menerima rawatan, manakala penunggang Honda RSX hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, punca kemalangan dipercayai akibat kecuaian penunggang Honda C100 gagal mengawal kenderaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Shamzury menasihatkan ibu bapa dan penjaga memantau anak bawah umur daripada menunggang atau membonceng motosikal tanpa lesen serta tidak bertopi keledar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.