Pemandu van persiaran terbabit nahas positif syabu

Pemandu van persiaran terbabit nahas positif syabu

Polis berkata pemandu van itu telah ditahan untuk permohonan reman esok.

Keadaan van persiaran selepas terbabas dan terbalik di KM212 Lebuhraya Utara-Selatan di Alor Gajah pagi tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Pemandu van persiaran membawa lapan warga India yang terbabit kemalangan di KM212 Lebuhraya Utara-Selatan di Alor Gajah pagi tadi, didapati positif syabu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Muhammad Zaki Ramat, berkata polis menerima laporan sekitar 10.30 pagi tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati van persiaran dari arah Kuala Lumpur menuju Melaka itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan.

Menurutnya, warga tempatan berusia 55 tahun yang memandu van itu tidak cedera.

“Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu tersebut positif methamphetamine (syabu),” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, pemandu itu telah ditahan untuk permohonan reman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan.

Jelasnya, tiga penumpang terdiri daripada seorang lelaki 52 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 13 tahun cedera ringan. Semuanya dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507 atau ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan lapan warga India, termasuk tiga kanak-kanak berdepan detik cemas selepas van persiaran dinaiki mereka terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.